CIMB dijangka lebih berprestasi pada FY21 - Firma | DagangNews Skip to main content

CIMB dijangka lebih berprestasi pada FY21 - Firma

CIMB

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 April - Syarikat perbankan, CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) dijangka lebih berprestasi bagi tahun kewangan 2021.

 

Firma penyelidik, MIDF Research berkata, jangkaan itu dinilai seiring dengan pelancaran program vaksinasi dan pemulihan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

 

"Kami menjangkakan peningkatan secara berperingkat daripada kumpulan ini. Walaupun peruntukan akan kekal tinggi, kami meletakkan jangkaan margin faedah bersih (NIM) yang lebih baik serta kawalan kos yang lebih ketat akan membantu mengurangkan tekanan.

 

"Selain itu, kami menjangkakan bahawa peruntukan akan lebih rendah berbanding tahun kewangan 2020. Oleh itu, kami percaya bahawa tahun kewangan 2021 akan menyaksikan prestasi yang lebih baik daripada kumpulan," jelas firma tersebut dalam nota kajiannya hari ini.

 

Dalam pada itu, MIDF Research berkata, dengan kenaikan harga saham baru-baru ini, pihaknya percaya perkara tersebut memberi peluang pelaburan yang lebih baik.

 

Susulan itu, MIDF Research mengambil pendekatan menaik taraf saranan saham CIMB kepada 'beli' berbanding 'neutral' pada sebelumnya.

 

Bagaimanapun, harga sasaran sesaham (TP) dikekalkan sebanyak RM4.50.

 

Jumaat lalu, MIDF Research memberitahu, pihaknya membuat pertemuan bersama Ketua Pegawai Kewangan (CFO) CIMB.

 

Melalui pertemuan tersebut, beberapa perkara dimaklumkan termasuk peningkatan dalam program Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar (TRA) sebagai peratusan dalam keseluruhan buku pinjaman.

 

Selain itu, NIM juga dilaporkan bertambah baik pada suku pertama tahun kewangan 2021 selain kestabilan pendapatan dagangan.

 

Dalam nota kajian yang sama, MIDF Research berkata, pihaknya memutuskan untuk mengekalkan ramalan pendapatan kumpulan berkenaan buat ketika ini. - DagangNews.com