CIMB diyakini catat pertumbuhan baik pada FY23 selepas prestasi mantap dalam 9M23 – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

CIMB diyakini catat pertumbuhan baik pada FY23 selepas prestasi mantap dalam 9M23 – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb - RHB Investment menjangkakan CIMB Group Holdings Berhad mencatat pertumbuhan yang baik pada tahun kewangan 2023 (FY23) dan mencapai jangkaan konsensus selepas prestasi mantap dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023 (9M23).

 

Firma penyelidikan itu turut menantikan prospek CIMB bagi 2024, lebih-lebih lagi jika sasaran pulangan atas ekuiti (ROE) tahun ini dikekalkan pada 11.5% hingga 12.5%. 

 

Menurut firma itu, pertumbuhan pinjaman kumpulan perbankan itu dijangka mantap pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) didorong segmen pengguna di Malaysia serta segmen bukan runcit di Indonesia dan Singapura.

 

RHB Investment berkata, sebahagian daripada momentum ini mencerminkan pengambilan pinjaman yang dijadualkan, tetapi terdapat beberapa pengambilan pinjaman kemudahan jangka pendek dibuat di Indonesia, selain pemberian pinjaman yang tidak menentu di Singapura. 

 

“Dalam mengorak langkah ke hadapan, CIMB berpandangan optimistik sambil berjaga-jaga terhadap prospek pertumbuhan pinjaman tahun ini, disokong segmen bukan runcit berikutan pelaksanaan pelbagai projek prasarana. 

 

“Biarpun begitu, pihak bank akan terus berhemat dalam penetapan harga dan sanggup menarik diri jika margin terlampau kecil,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

 

Selain itu, RHB Investment berkata pendapatan bukan faedah mungkin bertahan disebabkan oleh yuran sektor perbankan borong manakala pendapatan daripada perdagangan dan pertukaran asing (forex) juga dilihat baik. 

 

“Setakat tahun ini, tebaran dan jumlah dagangan forex merekodkan prestasi bagus, namun keadaan masih pada peringkat awal,” tambahnya.

 

Sementara itu, perbelanjaan operasi pada separuh kedua 2023 meningkat susulan pelancaran projek IT dan teknologi, selain belanja am dan pentadbiran yang lebih tinggi.

 

Firma itu berkata, CIMB turut menanggung kos demi memperkemas perniagaan perbankan borongnya pada suku keempat, namun impaknya tidak begitu ketara. 

 

“Langkah pengemasan ini dijangka akan menambah baik jualan silang dengan tumpuan utama jangka pendek diberi pada pengumpulan deposit,” ujar firma itu.

 

Bagi kualiti aset kumpulan, RHB Investment berkata bayaran pinjaman tertunggak terus stabil manakala pinjaman terjejas kasar (GIL) dijangka bertambah baik suku ke suku.

 

Dengan CIMB tetap menjadi syarikat pilihan utama bagi sektor perbankan, firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM6.88 sesaham. - DagangNews.com