CIMB, SME Corp jalin kerjasama jayakan program GreenBizReady, lancarkan panduan ESG kepada PKS | DagangNews Skip to main content

CIMB, SME Corp jalin kerjasama jayakan program GreenBizReady, lancarkan panduan ESG kepada PKS

(Kiri ke kanan): Luanne Sieh, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan CIMB; Ahmad Shazli KamarulzamanRizal Nainy dan Lawrence Loh, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Komersial dan Transaksi Kumpulan, Kumpulan CIMB, di Acara Siri Kelestarian Cooler Earth baru-baru ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Julai - CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd menjalikan kerjasama dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp) untuk program GreenBizReady yang melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia yang merupakan sebagai sebahagian daripada Siri Kemampanan CIMB The Cooler Earth.

 

Dalam satu kenyataan, bank itu turut memperkenalkan buku CIMB ESG Simplified Playbook for SMEs - panduan ringkas mengenai amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk PKS.

 

Menerusi kerjasama CIMB dan SME Corp., PKS kini mempunyai akses kepada mekanisme percuma seperti Penilaian ESG PMKS untuk skor kesediaan ESG segera dan Panduan Ringkas ESG untuk penyepaduan dan pelaporan kemampanan.

 

Selain itu, SME Corp juga menawarkan bengkel, latihan dan peluang rangkaian untuk pelanggan PKS CIMB mengembangkan pengetahuan dan keupayaan mereka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, menjadi entiti peniagaan yang bersiap sedia dengan ESG adalah kelebihan besar bagi PKS untuk mengakses pasaran tempatan dan global. 

 

"Oleh itu, melalui kerjasama ini, lebih banyak PKS boleh mengukur kesediaan ESG mereka dan mengakses maklumat dan panduan berharga untuk memulakan amalan ESG dalam perniagaan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CIMB peruntuk RM3 bilion untuk program Pembiayaan Berkaitan Kemampanan bagi PKS

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama bagi Perbankan Komersial dan Transaksi Kumpulan CIMB, Ahmad Shazli Kamarulzaman berkata, CIMB komited dalam usaha untuk memudahkan peralihan PKS Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon, selaras dengan agenda kemampanan Kerajaan.

 

Katanya, sebagai menyokong perkara ini, CIMB berbesar hati untuk memperkenalkan Playbook yang bertujuan memperkasakan PKS dengan pengetahuan dan contoh kemampanan praktikal untuk menyepadukan amalan mampan ke dalam operasi perniagaan mereka sambil mengurangkan kos.

 

cimb
Ahmad Shazli (empat dari kiri) dan Rizal Nainy (lima dari kiri) pada pelancaran buku ‘ESG Quick Guide for MSMEs’ dan ‘CIMB ESG Playbook for SMEs’ di ibu negara baru-baru ini.-Gambar SME CORP

 

"Menerusi memperkasakan PKS dengan alat yang betul, mereka boleh mengukuhkan daya tahan dan daya saing mereka, meletakkan perniagaan mereka untuk berjaya di peringkat serantau dan global, di samping turut memberi sumbangan besar kepada matlamat negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050," tambahnya.

 

GreenBizReady ialah penyelesaian komprehensif CIMB yang direka untuk memperkasakan PKS dalam perjalanan kemampanan mereka. Ia menyediakan akses kepada latihan penting, khidmat nasihat dan memadankannya dengan pembekal dan penyedia perkhidmatan yang berkaitan.

 

Sementara itu, CIMB berkata Playbook baharu menawarkan cara praktikal untuk PKS mengurangkan pelepasan karbon daripada elektrik dan bahan api. Ia termasuk alat percuma yang mudah digunakan seperti kalkulator pelepasan karbon untuk menganggarkan pelepasan dan mencari penjimatan.

 

Ia juga mengandungi sumber yang relevan bagi PKS untuk meningkatkan amalan kemampanan mereka melalui panduan tentang dasar dan insentif, serta pilihan kewangan mampan untuk meningkatkan peralihan mereka.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai cadangan GreenBizReady CIMB dan untuk mengakses Playbook, lawati https://cimb.com.my/greenbizready.

 

Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, program ini telah mengukuhkan ekosistemnya dengan bekerjasama bersama 21 organisasi dan agensi kerajaan serta telah membantu lebih daripada 200 syarikat dalam pelbagai cara dalam perjalanan kelestarian mereka.

 

Sebahagian daripada inisiatif GreenBizReady adalah Pembiayaan Berkaitan Kelestarian (SLF) yang menyediakan peruntukan sebanyak RM3 bilion sehingga 2030 dan menawarkan diskaun pembiayaan yang menarik sehingga 0.50% setahun, untuk mendorong PKS mencapai sasaran penurunan gas rumah hijau yang boleh dipercayai dan memenuhi keperluan modal atau pengembangan mereka. - DagangNews.com