Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Syarikat peneraju teknologi dalam keselamatan siber dan rangkaian internet, Cisco System Malaysia (Cisco) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CyberSecurity Malaysia yang merupakan sebuah agensi pakar keselamatan siber nasional di bawah kelolaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Hana Raja berkata, sebagai rakan kongsi yang komited kepada negara, pihaknya akan terus memainkan peranan untuk menyokong perjalanan digital Malaysia dan pelbagai aspek pendigitan termasuk keselamatan siber.
"Pengumuman hari ini menegaskan komitmen jangka panjang Cisco untuk memacu Malaysia sebagai ekosistem yang selamat, bagi meningkatkan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi serta peluang sosial yang lebih inklusif.
"Kami teruja berpeluang bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia dan kerajaan Malaysia untuk berkongsi kepakaran kami dalam bidang ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis menandatangani MoU yang dijalankan secara maya itu turut disempurnakan Menteri KKMM, Datuk Saifuddin Abdullah dan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab FASc dan Pengarah Urusan Cisco di Malaysia, Hana Raja.
Turut hadir, Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian D. Mcfeeters serta Presiden Cisco Systems Asia Tenggara, Naveen Menon.
MoU tersebut bakal menyemarakkan kerjasama dalam penyelidikan, kemajuan serta perkongsian maklumat dan pengetahuan antara Cisco dan CSM, sekali gus memperkukuhkan kemampuan keselamatan siber di Malaysia.
Inisiatif yang bakal dilancarkan menerusi perjanjian berkenaan termasuk komitmen untuk mengembangkan perisikan ancaman global dan perkongsian pengetahuan, selain memacu kemahiran dan kemajuan tenaga kerja keselamatan siber di Malaysia.
Mengulas berkaitan MoU tersebut, Saifuddin memberitahu, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Cisco yang merupakan sebuah peneraju keselamatan bertaraf antarabangsa yang terkemuka.
"Menerusi kerjasama dengan CyberSecurity Malaysia, negara kita dapat memanfaatkan teknologi, proses dan kepakaran Cisco yang terbukti.
"MoU ini akan melengkapkan usaha strategik kami dalam menaik taraf keupayaan keselamatan siber bagi mempersiap siagakan Malaysia ke arah ekonomi digital yang boleh dipercayai, terjamin, dan berdaya tahan," katanya.
Bagi pihak CyberSecurity Malaysia, Amirudin berkata, kerjasama tersebut mencerminkan pendekatan progresif oleh kerajaan terhadap keselamatan siber, dengan melaksanakan pelbagai langkah yang wajar bagi meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan negara.
"Selari dengan kerjasama ini, CyberSecurity Malaysia bakal memanfaatkan kepakaran Cisco bagi memperluas kajian dalam ancaman keselamatan siber menerusi perkongsian maklumat serta kolaborasi untuk menyediakan perisikan khusus tentang ancaman dan insiden siber," ujar beliau. - DagangNews.com