CITF pandang serius isu suntikan vaksin di PPV, tamatkan perkhidmatan petugas jika bersalah | DagangNews Skip to main content

CITF pandang serius isu suntikan vaksin di PPV, tamatkan perkhidmatan petugas jika bersalah

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memandang berat beberapa dakwaan mengenai suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang tular di laman media sosial.

 

Susulan itu, CITF kini bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan siasatan tentang perkara ini agar kejadian seperti itu tidak berulang.

 

"Kes pertama yang berlaku pada 17 Julai 2021 di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah.

 

"PPV tersebut dikhaskan kepada anggota ATM dan ahli keluarga mereka sahaja. Vaksinasi di PPV tersebut dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem tersebut.

 

"Satu siasatan telah dijalankan oleh pihak ATM mengenai kejadian tersebut di mana individu-individu yang terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan. Tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut," jelas CITF dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain kes tersebut, terdapat dua lagi dakwaan mengenai suntikan vaksin kosong yang berlaku di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC)

 

Kejadian tersebut didakwa telah berlaku pada 17 Julai 2021 dan orang awam yang terlibat telah membuat laporan polis.

 

Di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC) pula, dakwaan mengenai suntikan palsu ini telah dibuat pada 18 Julai 2021 dan laporan polis telah dibuat oleh penyedia perkhidmatan kesihatan (HCO) terbabit.

 

CITF berkata, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan dan sebarang perkembangan mengenai perkara itu akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

 

"Sekiranya didapati bersalah, pihak CITF tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan petugas yang terlibat dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang berkenaan perkara ini.

 

"Seperti mana prosedur operasi standard (SOP), setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan. 

 

"Orang ramai juga disarankan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya," jelas CITF lagi. - DagangNews.com