CITF pertimbang PPV khusus untuk warga asing | DagangNews Skip to main content

CITF pertimbang PPV khusus untuk warga asing

Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang mempertimbangkan keperluan untuk mengkhususkan beberapa PPV bagi warga asing mengikut bahasa yang digunakan.

 

CITF berkata, keperluan itu adalah bagi memudahkan golongan berkenaan mendapatkan sumber yang diperlukan  seperti penterjemah atau sukarelawan.

 

"CITF juga sedang mempertimbangkan keperluan untuk mengkhususkan beberapa PPV untuk warga asing mengikut bahasa yang digunakan agar sumber-sumber yang diperlukan, seperti penterjemah atau sukarelawan dapat ditempatkan agar proses vaksinasi dapat dipermudahkan," jelas CITF dalam satu kenyataan.

 

CITF dalam kenyataan sama memaklumkan, insiden kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang kelmarin berpunca daripada beberapa perkara.

 

Kesesakan tersebut terjadi apabila sebilangan besar daripada penerima vaksin hadir tidak mengikut waktu janji temu yang diberikan. 

 

Selain itu, kegagalan pekerja asing dalam mengisi borang dan memuat turun aplikasi MySejahtera menyebabkan proses tersebut mengambil masa yang lama.

 

Susulan itu, CITF telah mengambil beberapa langkah segera dengan kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia untuk menyekat perjalanan sebarang kenderaan seperti bas dari luar Lembah Klang yang membawa sama ada pekerja asing atau rakyat Malaysia secara beramai-ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin di Lembah Klang.

 

"Selain itu, CITF juga telah meminda tarikh janji temu bagi sesetengah penerima vaksin untuk mengurangkan jumlah kehadiran agar kesesakan daripada masalah komunikasi yang telah diterangkan tadi dapat dielakkan.

 

"Hasil daripada tindakan CITF ini, kesesakan di PPV yang terlibat terutamanya di waktu petang, telah dapat dikurangkan semalam," jelas CITF lagi. - DagangNews.com