Classic Scenic selesai ambil alih kilang di Perak bernilai RM12.5 juta | DagangNews Skip to main content

Classic Scenic selesai ambil alih kilang di Perak bernilai RM12.5 juta

KUALA LUMPUR 1 April – Classic Scenic Bhd. menerusi anak syarikat utama milik penuhnya, Finesse Moulding (M) Sdn. Bhd. telah menyempurnakan pengambilalihan kilang pembuatan bingkai gambar dan acuan kayu baharu yang terletak di Bidor, Perak.

 

Kilang itu diperoleh daripada Ve Surpass Frame (M) Sdn. Bhd. membabitkan pertimbangan tunai sebanyak RM12.5 juta, yang dibiayai menerusi dana dalaman kumpulan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pengambilalihan kilang pembuatan baharu itu terdiri daripada 4 bidang tanah perindustrian pegangan pajakan dengan jumlah keluasan kira-kira 520,000 kaki persegi bersama kilang pembuatan bingkai kayu dan acuan yang didirikan di atas tanah tersebut.

 

Kilang pembuatan baharu yang memiliki keluasan sehingga 230,000 kaki persegi itu ketika ini disewa oleh kumpulan.

 

Pengarah Urusan Classic Scenic, Samuel Lim Chee Beng berkata, kilang pembuatan baharu itu mampu meningkatkan kapasiti pemasangan kumpulan daripada 32 juta kaki kepada 48 juta kaki setahun dan mempercepatkan pertumbuhan perniagaan dalam bingkai gambar dan acuan.

 

Katanya, ia juga dapat membantu kumpulan berkembang dalam aktiviti huluan menerusi pengilangan papan sedia ada.

 

"Kumpulan bercadang untuk memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM2 juta bagi menaik taraf kemudahan kilang pembuatan dan membeli peralatan serta mesin kerja kayu yang baharu.

 

"Kami menjangkakan pengambilalihan kilang pembuatan baharu ini akan menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan," katanya. - DagangNews.com