COE Distributing berhasrat gandakan import produk dari Malaysia kepada RM252 juta | DagangNews Skip to main content

COE Distributing berhasrat gandakan import produk dari Malaysia kepada RM252 juta

WASHINGTON 10 Mei - COE Distributing Inc., pengedar borong terbesar perabot di Amerika Syarikat (AS), berhasrat menggandakan import produk dari Malaysia kepada RM252 juta bagi tempoh dua hingga tiga tahun lagi berbanding RM126 juta pada masa ini.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pecutan Eksport) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Sharimahton Mat Saleh berkata, ini berikutan lonjakan permintaan terhadap perabot berkualiti tinggi yang dihasilkan di Malaysia.

 

Malah, katanya, pada masa ini 70% daripada perabot pejabat COE diimport dari Malaysia.

 

“Selain itu, kenaikan tarif yang dikenakan oleh pentadbiran bekas Presiden AS Donald Trump ke atas China, juga telah menyebabkan perabot keluaran China menjadi lebih mahal,” katanya kepada Bernama dan stesen TV3 selepas menghadiri mesyuarat dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Operasi COE Michael Flaherty di sini pada Isnin.

 

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyertai Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke AS selama 10 hari sehingga 18 Mei 2022.

 

Sebelum pertemuan dengan Flaherty, Mohamed Azmin telah menemui Naib Presiden Kanan Operasi Pengeluaran Texas Instruments Inc, Mohammad Yunus yang turut menyuarakan hasrat untuk mengembangkan kemudahan syarikat itu di Malaysia.

 

azmin

 

Texas Instruments yang ditubuhkan pada 1930 merupakan sebuah syarikat semikonduktor global yang berpangkalan di AS dengan 15 kemudahan pengeluaran di serata dunia, 11 makmal fab wafer, tujuh kilang pemasangan dan ujian serta kemudahan termasuk penghentakan wafer.

 

Ia mempunyai dua kemudahan pengeluaran di Malaysia iaitu di Kuala Lumpur dan Melaka.

 

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata Texas Instruments merancang untuk mengembangkan lagi kemudahannya di Malaysia dalam tempoh 20 tahun akan datang yang dijangka dapat mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi tambahan di negara ini.

 

azmin

 

Menurutnya, Mohammad telah berkongsi mengenai minat berterusan syarikat itu di Malaysia yang merangkumi aspek reka bentuk, pembangunan dan pembuatan berkaitan penghentakan wafer sebagai projek pengembangan bagi peningkatan teknologi.

 

“Legasi Texas Instruments di Malaysia sebagai penyumbang besar teknologi telah mencecah usia melebihi lima dekad.

 

“Entiti syarikat itu di Kuala Lumpur dan Melaka juga telah memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dari segi pekerjaan berkemahiran tinggi termasuk pengambilan siswazah universiti tempatan Malaysia selain memberi kesan limpahan kepada industri rantaian bekalan tempatan,” katanya. - DagangNews.com