COVID-19 belum reda, kini Malaysia berdepan penyakit kulit lembu | DagangNews Skip to main content

COVID-19 belum reda, kini Malaysia berdepan penyakit kulit lembu

Lumpy Skin Disease (LSD)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Meskipun masih 'berperang' dengan kes jangkitan wabak COVID-19 yang tinggi, kini Malaysia turut berdepan dengan penularan penyakit kulit atau Lumpy Skin Disease (LSD) yang melibatkan ternakan lembu.

 

Penyakit berkenaan dilaporkan telah menular di beberapa negara Asia termasuk India, Bangladesh, Nepal, Bhutan, China, Chinese Taipei, Vietnam, Myammar dan terkini di Thailand.

 

Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengaktifkan program survelan bagi mengesan, mengawal dan mencegah penularan penyakit LSD pada ternakan lembu di seluruh negara. 

 

"Setakat ini, sebanyak 81,252 ekor ternakan lembu di 9,108 premis/ladang telah diperiksa dan mendapati 89 ekor (0.1%) menunjukkan gejala jangkitan LSD.

 

"Sebagai usaha mencegah penularan penyakit LSD menerusi kemasukan  ternakan lembu yang di import, Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga telah mengetatkan syarat import lembu hidup daripada luar negara.

 

"Dengan kerjasama MAQIS memperkemas kawalan di pintu masuk negara di sempadan Malaysia dan mengambil tindakan ke atas mana-mana konsainan lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di Stesen Kuarantin," jelas Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

 

.

 

Penyakit LSD berlaku disebabkan oleh virus Poxviridae dan boleh tersebar dalam kumpulan ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkenit serta boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung.

 

Tanda-tanda klinikal pada ternakan lembu terjangkit adalah nodular pada kulit di sebahagian atau keseluruhan tubuh lembu.

 

Penyakit berkenaan tidak mempunyai rawatan khusus, bagaimanapun lembu yang dijangkiti boleh diberi rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder menerusi pemberian antibiotik, anti-inflamatori dan vitamin.

 

Tambah jabatan itu lagi, meskipun penyakit berkenaan tidak menyebabkan kematian yang tinggi, tetapi ia memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan lembu dan kerugian kepada penternak akibat penurunan pengeluaran susu pada lembu  tenusu, penurunan berat badan, keguguran dan kemandulan kepada lembu pejantan.

 

"Penyakit LSD tidak zoonotik, iaitu tidak menjangkiti manusia. Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar menafikan gambar individu yang tular dengan gejala di bawah mata disebabkan jangkitan LSD.

 

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga ingin memaklumkan bahawa berita yang tular berkaitan “Elakkan membeli daging segar yang dijangkiti penyakit lembu di Perak” adalah tidak benar," ujar jabatan itu lagi.

 

Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut memohon kerjasama pemain industri termasuk pengimport, peraih dan penternak lembu supaya segera menghubungi pejabat perkhidmatan Veterinar di negeri atau daerah sekiranya mengesyaki ternakan lembu menunjukkan gejala penyakit LSD. - DagangNews.com