COVID-19: Industri lapangan terbang dunia dijangka rugi AS$104.5 bilion | DagangNews Skip to main content

COVID-19: Industri lapangan terbang dunia dijangka rugi AS$104.5 bilion

KUALA LUMPUR 14 Okt – Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa Dunia (ACI) menganggarkan industri lapangan terbang akan menanggung penurunan sebanyak 60% dari segi perolehan, atau kerugian sebanyak AS$104.5 bilion berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia sekarang,

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pula meletakkan kerugian yang dialami syarikat penerbangan sekurang-kurangnya 50% atau AS$419 bilion, berbanding AS$838 bilion yang dicatat tahun lalu.

Dalam konteks ini, kedua-dua badan industri antarabangsa itu menyeru kerajaan-kerajaan dunia supaya menggunakan kaedah ujian ke atas pelawat, sebagai cara membuka semula sempadan negara masing-masing secara selamat dan mengembalikan sambungan global serta mengelakkan industri penerbangan daripada runtuh sama sekali.

Menurut kenyataan bersama ACI dan IATA, kedua-dua langkah itu akan melindungi negara daripada pengimportan kes COVID-19, mengelak krisis pengangguran di dalam sektor pelancongan dan lawatan, dan memastikan struktur kritikal penerbangan kekal berdaya maju yang boleh menyokong manfaat ekonomi dan sosial.

Kumpulan Tindakan Pengangkutan Udara (ATAG) pula menganggarkan 46 juta pekerjaan kini berada di dalam risiko disebabkan krisis COVID-19 dengan majoritinya (41.2 juta pekerjaan) adalah di dalam sektor pelancongan dan lawatan yang bergantung kepada penerbangan. Baki 4.8 juta pekerjaan adalah merangkumi penggajian langsung di dalam sektor penerbangan, termasuk lapangan terbang dan syarikat penerbangan.

 

Luis Felipe de Oliveira
Luis Felipe de Oliveira


Ketua Pengarah ACI Dunia, Luis Felipe de Oliveira berkata, pandemik COVID-19 masih merupakan krisis dunia, dan lapangan terbang, syarikat penerbangan bersama rakan komersial mereka memerlukan bantuan kewangan bagi melindungi operasi penting dan pekerjaan.

“Namun bantuan seumpamanya hanyalah satu bahagian untuk industri dihidupkan semula dan mempersiapkan diri meneruskan operasi dengan menumpu kepada kesejahteraan dan kesihatan pelawat, kakitangan dan orang awam.

“ACI dan IATA bersama-sama menyeru kerajaan supaya bertindak segera untuk memperkenalkan ujian yang meluas dan diselaraskan bagi para penumpang agar keperluan kuarantin tidak diperlukan.

“Tanpa langkah sedemikian, bukan sesuatu yang digembar-gemburkan bahawa industri penerbangan berdepan dengan keruntuhan.

 

Alexandre de Juniac, IATA’s Director General and CEO.
Alexandre de Juniac

 

Ketua Pengarah dan CEO IATA, Alexandre de Juniac pula berkata, tindakan segera perlu diambil kerana sebahagian besar rangkaian udara global telah terjejas teruk selama setengah tahun ini.

“Kehilangan kerja baik di dalam mahu pun di luar industri, meningkat setiap hari semasa sempadan ditutup. Dengan setiap pekerjaan hilang, usaha pemulihan dan impak terhadap ekonomi menjadi semakin sulit.

“Momentum kini meningkat untuk menyokong kaedah ujian bagi membuka semula sempadan. Itu adalah keutamaan operasi. Dan bagi memastikan kita memiliki sektor penerbangan yang berdaya maju ketika penamat kriris ini, pusingan kedua bantuan kewangan adalah diperlukan,” kata beliau.

Sejajar dengan Peraturan Kesihatan Dunia WHO, kedua-dua badan tersebut juga bersependapat bahawa kos berkaitan langkah-langkah penjagaan kesihatan orang awam, termasuk pengenalan pendekatan bersepadu ujian COVID-19 hendaklah ditanggung oleh kerajaan negara masing-masing. – DagangNews.com