COVID-19 : Makin ramai miskin, termasuk T20 | DagangNews Skip to main content

COVID-19 : Makin ramai miskin, termasuk T20

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Mac - Pandemik COVID-19 menyebabkan lebih ramai rakyat semakin jatuh miskin walaupun kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara ini dapat dilihat ketika beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi setiap minggu. 

 

"Walaupun, kerajaan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat, khususnya semasa pandemik COVID-19, masih ramai lagi yang menanggung kesusahan. 

 

"Mereka yang dahulunya berada dalam kumpulan T20 sebahagiannya telah menjadi M40 dan sebahagian kumpulan M40 telah menjadi kumpulan B40. 

 

"Mereka yang berada dalam kumpulan B40 pula menjadi bertambah miskin kerana kesan penguncupan ekonomi yang sedang dialami oleh negara kita," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung pagi ini.
 

Perdana Menteri memberitahu, kabinet juga telah membincangkan secara mendalam masalah kemiskinan yang sedang berlaku di negara ini. 

 

"Saya telah dipertanggungjawbkan untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kemiskinan yang akan meneliti masalah ini secara lebih terperinci. 

 

"Kita juga akan meneliti langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC), badan-badan sukarela serta sektor swasta untuk bersama-sama mengatasi masalah kemiskinan," katanya. 

 

Menurutnya, program pembasmian kemiskinan akan mengambilkira peningkatan Paras Garis Kemiskinan 2021 (PGK 2021) daripada RM980 kepada RM2,208 yang akan meningkatkan bilangan isi rumah miskin dan miskin tegar dan seterusnya meningkatkan bilangan kumpulan sasar. - DagangNews.com