Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Nov – Pelawat antarabangsa dari 11 negara yang dikategori berisiko tinggi, termasuk Romania dan Ukraine, tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia apabila sempadan dibuka semula pada 15 November ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, negara lain yang telah dikenal pasti dilarang ialah Serbia, Georgia, Solvakia, Bosnia dan Herzegovina, Suriname, Martinique, Guyana dan St Kitts dan Nevis.
“Ini adalah langkah pencegahan kita bagi mengekang merebaknya COVID-19. Negara yang disenarai tersebut, dinilai bergantung kepada bilangan kes dan bagaimana negara berkenaan mengendalikan kes COVID-19 mereka.
“Senarai ini belum penuh lagi tetapi kita akan menerima lagi kemudian,’’ kata beliau semasa sesi perbincangan Memulihkan Industri Pelancongan Malaysia dalam Siri 2 Invest Malaysia 2021 secara maya, pada Selasa.
Nancy berkata, senarai itu akan dimuktamad tidak lama lagi.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelancong asing akan dibenarkan memasuki Langkawi di bawah projek perintis gelembung pelancongan antarabangsa bermula 15 November.
Nancy berkata, pelancong asing, tanpa mengira dari mana asal mereka, dikehendaki mengemukakan keputusan ujian RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas dan harus menjalani kuarantin selama 14 hari.
Menurut beliau, pengecualian kuarantin diberi kepada pelancong asing yang terbang terus ke Langkawi, namun mereka diwajibkan mengemukakan ujian swab baharu pada hari kelima lawatan mereka.
Mengenai laluan khas vaksinasi sepenuhnya Malaysia-Singapura, Nancy berkata, Malaysia juga berhasrat mengukuhkan kerjasama serantau dengan negara ASEAN lain khususnya negara jiran yang rendah bilangan kes seperti Kemboja, Thailand, Brunei dann Vietnam.
“Kami hendak pastikan tiada sesiapa tertinggal tetapi pastinya kita mesti realistik dan praktikal mengenai negara-negara yang kita benarkan masuk,’’ ujarnya.
Sumbangan industri pelancongan kepada telah merudum daripada RM102 bilion atau 6.7% dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2019, ke paras hanya RM29 bilion (2% daripada KDNK GDP) pada 2020 disebabkan pandemik COVID-19. – DagangNews.com