COVID-19: MITI seru syarikat-syarikat guna sistem CIMS  | DagangNews Skip to main content

COVID-19: MITI seru syarikat-syarikat guna sistem CIMS 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Berikutan pengumuman Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) serta PKP Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokasi seluruh negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyeru syarikat-syarikat di Malaysia untuk berdaftar di sistem pangkalan data perniagaan, COVID-19 Intelligent Management System (CIMS).

Pendaftaran itu adalah bagi memudahkan pemeriksaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menggunakan sistem berkenaan sebagai rujukan mereka sebelum memberi kebenaran beroperasi kepada syarikat-syarikat yang berkaitan.

MITI dalam sebuah kenyataan, bagaimanapun, menekankan bahawa pendaftaran di CIMS adalah sekadar sumber rujukan PDRM dan bukan satu bentuk kelulusan beroperasi secara automatik bagi syarikat-syarikat. 

Jelas kementerian itu, kelulusan untuk beroperasi adalah tetap mengikut keputusan pihak PDRM. 

“Bagi lokasi PKPB di Sabah, syarikat-syarikat daripada sektor-sektor Perkhidmatan Perlu yang telah diwartakan kerajaan adalah amat digalakkan untuk berdaftar di CIMS. 

“Senarai sektor-sektor ini boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara,” jelas MITI.

Syarikat-syarikat boleh membuat pendaftaran secara dalam talian melalui pautan www.notification.miti.gov.my. 

Bagi syarikat yang sudah membuat pendaftaran di versi CIMS terdahulu, mereka tidak perlu membuat permohonan sekali lagi. 

Seiring itu, MITI mengingatkan syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi setiap sektor terlibat.

 “Ini adalah seiring dengan akujanji yang dipersetujui syarikat semasa membuat permohonan di CIMS. Pematuhan ini juga wajib bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa dilindungi. 

“Ketidakpatuhan SOP ini adalah satu kesalahan jenayah di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LangkahLangkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan syarikat boleh dikenakan tindakan undang-undang,” kata kementerian itu.

Syarikat yang mempunyai sebarang isu teknikal dengan pendaftaran boleh menghantar emel aduan kepada info@marii.my atau berhubung dengan MITI di laman media sosial MITI di Twitter, Facebook dan Instagram. - DagangNews.com