Crest Builder diunjur raih untung FY24, FY25, Rakuten Trade saran 'Beli' pada TP 97 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Crest Builder diunjur raih untung FY24, FY25, Rakuten Trade saran 'Beli' pada TP 97 sen sesaham

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Sept - Crest Builder Holdings Berhad dijangkakan mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM10.2 juta pada tahun kewangan 2024 (FY24) dan RM12.1 juta pada FY25, kata Rakuten Trade.

 

Menurut firma penyelidikan itu, unjuran ini berdasarkan pelbagai projek pembinaan yang sedang dilaksanakan di samping momentum jualan hartanah Crest Builder yang kukuh.

 

"Crest Builder adalah kontraktor pembinaan dan kejuruteraan yang khusus dengan pengalaman lebih 25 tahun. Syarikat ini juga telah melibatkan diri dalam perniagaan pembangunan hartanah.

 

"Saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP) 97 sen sesaham, disokong oleh buku pesanan yang kukuh sebanyak RM1.75 bilion dan jualan tinggi daripada projek pembangunan hartanahnya," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Rakuten Trade berkata, Crest Builder mempunyai sasaran penambahan buku pesanan kira-kira RM500 juta setahun dengan projek utama termasuk Noora Desa ParkCity, sebuah projek campuran bernilai RM478.9 juta melibatkan kemajuan 23% dan Connaught One bernilai RM314.5 juta, dengan pembinaan kini pada 3.1%. 

 

Katanya, pembangunan penting lain termasuk Sunway Velocity 3, sebuah projek kediaman bertingkat tinggi bernilai RM448.5 juta dan Allevia Mont Kiara yang hampir siap pada 96.1%, dengan nilai kontrak RM192.1 juta.

 

"Dalam bahagian pembangunan hartanah, Crest Builder telah mencapai kejayaan dengan The Interpoint @ Bandar Bukit Tinggi, yang mencapai kadar jualan 70%, dan kebangkitan semula projek Latitud8, yang berada di landasan yang betul untuk siap pada 2027. 

 

"Projek-projek ini, bersama dengan pendapatan konsesi dari kampus UiTM Tapah 2, yang berlanjutan sehingga 2034, memberikan asas kukuh untuk pertumbuhan jangka Panjang," ujarnya.

 

Menurut Rakuten Trade, melihat ke hadapan, Crest Builder merancang memanfaatkan kehadiran pasarannya yang kukuh dengan membida lebih banyak projek berskala besar, memastikan pertumbuhan hasil jangka panjang. 

 

"Fokus strategik syarikat pada pengoptimuman kos dan pelaksanaan yang efisien meningkatkan keupayaannya untuk menyampaikan projek dengan menguntungkan.

 

"Kewangan kekal terkawal dengan nisbah gearing bersih sebanyak 0.4x pada 30 Jun 2024, dan nisbah liputan faedah melebihi 10x," jelas firma penyelidikan itu. - DagangNews.com