Proton bawa pembekal syarikat tempatan ke China teliti pembangunan kereta EV | DagangNews Skip to main content

Proton bawa pembekal syarikat tempatan ke China teliti pembangunan kereta EV

22 vendor Malaysia melawat kilang komponen EV di tujuh lokasi di China, termasuk Shanghai, Nanjing dan Hangzhou
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - Proton bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membawa pembekal syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menghadiri “Program Akses Pasaran, Pemindahan Teknologi & Peningkatan Vendor” di China.

 

Menurut pengeluar kereta nasional itu, inisiatif tersebut bertujuan untuk memupuk inovasi, meningkatkan aktiviti, menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti mampan.

 

"Program tersebut dianjurkan oleh KUSKOP dan diketuai oleh Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF). 

 

"Ia telah dilancarkan pada awal Julai bagi mempercepatkan pembangunan kenderaan generasi akan datang dan kenderaan elektrik (EV) melalui perkongsian strategik dan pertukaran teknologi," kata Proton dalam satu kenyataan. 

 

Selain itu, program itu juga dihadiri oleh wakil dari MBSB Bank, Tenaga Nasional Bhd, PLUS Expressways Bhd, UEM Edgenta Bhd, Telekom Malaysia serta 22 vendor Malaysia yang melawat kilang komponen EV. 

 

"Penganjur melawat kilang dan stesen pengecas, pengeluar bateri dan pengecas di tujuh lokasi di China, termasuk Shanghai, Nanjing dan Hangzhou. 

 

"Antara lokasi yang dilawati termasuk anak syarikat Geely, pengeluar EV Zeekr dan pengeluar bateri serta pengecas EV VREMT di Teluk Hangzhou," ujar Proton. 

 

Dalam kalangan peserta, 87% pembekal tempatan berhasrat untuk bekerjasama dengan pembekal China dalam salah satu kaegori perkongsian utama termasuk pengedaran, pemindahan teknologi, rakan usaha sama, pembangunan kemahiran dan pelaburan perniagaan bersama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz berkata program tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam memajukan keupayaan automotif Malaysia.

 

"Perkongsian dan pertukaran teknologi semasa lawatan ini penting untuk mengukuhkan rantaian bekalan tempatan kita, terutamanya dalam komponen kenderaan elektrik. Usaha ini menyokong Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) yang akan menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam industri EV di rantau ini,” jelas beliau. 

 

Sementara itu, dalam lawatan berasingan ke China sebulan sebelum itu, Proton memperkenalkan model dan konsep reka bentuk yang akan datang bagi mendapatkan lebih banyak pandangan mengenai pembangunan reka bentuk dalam memenuhi keperluan pasaran tempatan dan global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong turut berkata, lawatan-lawatan terkini menunjukkan komitmen Proton yang kukuh terhadap inovasi produk dan pendekatan strategik dalam memperkenalkan model baharu di peringkat tempatan dan global. 

 

"Ini menekankan keperluan untuk kerjasama yang lebih erat dan pertukaran teknologi bagi memastikan daya tahan jangka panjang sektor automotif di Malaysia serta mempercepat kemajuan ke arah mobiliti mampan,” ujar beliau.- DagangNews.com