Cukai jualan ke atas barang import bernilai rendah (LVG) dijual dalam talian beri kesaksamaan persaingan bagi perusahaan tempatan - MOF | DagangNews Skip to main content

Cukai jualan ke atas barang import bernilai rendah (LVG) dijual dalam talian beri kesaksamaan persaingan bagi perusahaan tempatan - MOF

oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 18 Dis - Kementerian Kewangan menjelaskan, kepesatan transaksi jualan dalam talian yang menjadi pilihan pengguna pada masa ini, telah mewujudkan layanan cukai yang tidak sama rata antara perniagaan dalam talian yang mengimport barang dari luar negara dan perniagaan yang beroperasi secara fizikal (brick and mortar) di Malaysia.

 

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, secara umum, cukai jualan dikenakan ke atas barang-barang yang dijual di Malaysia dan cukai jualan dibayar oleh pengimport, pemborong atau peruncit sebelum dijual kepada pengguna akhir di Malaysia.

 

"Namun demikian, terdapat loophole dalam sistem cukai jualan sedia ada yang menyebabkan amalan pengelakan cukai jualan berlaku dalam kalangan penjual. Di peringkat global, telah menjadi kelaziman untuk tidak mengenakan
cukai jualan dan duti import ke atas barang import di bawah nilai ‘De Minimis’ (minimum).

 

"Di Malaysia, nilai ‘De Minimis’ ditetapkan pada RM500 seunit barang bagi memudahkan urusan pelepasan kastam serta penghantaran melalui pos dan kurier," kata kementerian dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Negara-negara jiran Malaysia telah mengambil tindakan menangani loophole ini dengan menguatkuasakan cukai ke atas LVG, antaranya Singapura (1 Januari 2023) dan Indonesia (1 April 2023).


 

LVG

 


Menurut kementerian, penggubalan akta berkaitan pengenaan cukai jualan ke atas LVG diimport ke Malaysia telah diumumkan dalam Bajet 2022 dan diluluskan oleh Parlimen pada 4 Ogos 2022.

 

Cukai jualan LVG diimport asalnya dijadual untuk dilaksanakan pada 1 April 2023 tetapi ditangguh bagi membolehkan Kerajaan MADANI mengadakan sesi libat urus bersama-sama pemain industri untuk memperhalusi isu-isu pelaksanaan.

 

"Ini adalah untuk memastikan pelaksanaan cukai ini dapat mencapai objektif, terutamanya untuk menangani isu ketidaksamarataan layanan cukai ke atas barang-barang bernilai rendah antara perniagaan tempatan yang beroperasi secara fizikal dan perniagaan dalam talian.

 

"Cukai jualan pada kadar 10% dikenakan ke atas LVG bernilai RM500 ke bawah yang diimport ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara. 

 

"Cukai ini tidak dikenakan ke atas rokok, produk tembakau, minuman keras dan rokok paip kerana kesemua barang ini telah dikenakan duti import, duti eksais dan cukai jualan.

 

"Tarikh kuat kuasa bagi mengenakan dan melevikan cukai jualan ke atas LVG akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024," kata Kementerian Kewangan.

 

Penjual dalam talian tempatan dan luar negara yang menjual Barang Bernilai Rendah atau LVG diimport ke Malaysia dengan nilai melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan boleh memohon untuk berdaftar di bawah Akta Cukai Jualan (Pindaan) 2022 melalui mylvg.customs.gov.my/, kata Kementerian Kewangan.

 

"Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan cukai jualan ke atas LVG, peniaga dalam talian dan pengguna boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di mylvg.customs.gov.my/," kata kementerian. - DagangNews.com