Cukai Keuntungan Modal tidak akan dikenakan ke atas jualan saham melalui IPO - Anwar | DagangNews Skip to main content

Cukai Keuntungan Modal tidak akan dikenakan ke atas jualan saham melalui IPO - Anwar

Gambar FB Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR 8 Mac - Penjualan saham tidak tersenarai untuk tawaran awam permulaan (IPO) diluluskan tidak tertakluk kepada cukai keuntungan modal yang telah dicadangkan kerajaan, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Anwar berkata beliau maklum dengan kegusaran kumpulan pelaburan terhadap cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai keuntungan modal ke atas saham tidak tersenarai pada kadar rendah.

 

“Saya beri komitmen kerajaan kepada anda bahawa cukai tersebut hanya akan dimuktamadkan setelah penglibatan meluas dengan pihak berkepentingan, (dan) kedua, cukai itu tidak akan dikenakan ke atas saham tersenarai,” kata Anwar, yang juga menteri kewangan.

 

"Ketiga, pelupusan saham tidak tersenarai untuk IPO yang diluluskan juga tidak akan dikenakan cukai keuntungan modal," kata Anwar.

 

Beliau berkata demikian ketika majlis Invest Malaysia 2023 anjuran Bursa Malaysia dan Maybank hari ini.

 

Secara ringkasnya, individu atau syarikat yang menjual saham dalam syarikat tersenarai tidak akan tertakluk kepada sebarang cukai keuntungan modal baharu. 

 

Sementara itu, bagi syarikat tidak tersenarai yang hendak melaksanakan penyenaraian, pemegang saham sedia ada yang berhasrat menjual kepentingan mereka melalui tawaran jualan dalam IPO tidak tertakluk kepada cukai keuntungan modal juga.

 

Dalam ucapan Belanjawan 2023 bulan lalu, Anwar telah mengumumkan cadangan pengenalan cukai keuntungan modal ke atas penjualan saham dalam syarikat persendirian tahun depan. -DagangNews.com