Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Nov - Cadangan bagi melaksanakan Cukai Makmur yang diumumkan dalam Bajet 2022 dijangka memberi kesan negatif terhadap keuntungan bersih bank-bank bagi tahun kewangan 2022.
Menurut CGS-CIMB, di bawah Bajet 2022, kerajaan telah mencadangkan cukai khas satu kali yang dipanggil Cukai Makmur ke atas pendapatan tahun kewangan 2022 syarikat.
Katanya, di bawah pelaksanaan ini, keuntungan sebelum cukai (PTP) melebihi RM100 juta akan dikenakan cukai pada kadar yang lebih tinggi sebanyak 33% berbanding 24% pada masa ini.
"Ini akan memberi kesan negatif kepada keuntungan bersih bank kerana kami meramalkan PTP melebihi RM100 juta untuk semua bank pada tahun kewangan 2022.
"Kami percaya Cukai Makmur akan mengurangkan jumlah keuntungan bersih bank sebanyak 9%, dengan kesan negatif antara 7% (untuk Maybank) hingga 11.1% (untuk AMMB)," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Tambah CGS-CIMB lagi, dalam laporannya sebelum ini firma penganalisis itu menjangkakan pertumbuhan pinjaman industri ke paras terendah pada Ogos.
Namun pertumbuhan pinjaman meningkat daripada 2.5% tahun ke tahun pada akhir Ogos kepada 2.9% tahun ke tahun akhir Sep 2021.
"Peningkatan tersebut adalah dalam unjuran pertumbuhan pinjaman yang sebanyak 2.5-3.5% untuk tahun ini.
"Pertumbuhan pinjaman telah dirangsang terutamanya oleh peningkatan dalam pengembangan pertumbuhan pinjaman perniagaan daripada 0.8% pada Ogos kepada 2.3% pada September," katanya. -DagangNews.Com