Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Nov - Pelaksanaan Cukai Makmur seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022 mungkin akan menyebabkan turun naik jangka pendek dalam pasaran.
Menurut AmInvestment Bank, daripada 96 saham yang dipantau olehnya, 65% daripadanya mempnyai keuntungan sebelum cukai melebihi RM100 juta dan menerusi pelaksanaan Cukai Makmur ke atas syarikat-syarikat ini, pendapatan syarikat mungkin terjejas antara 1.2 hingga 11.8%.
"Kami menganggarkan bahawa sektor yang mempunyai kesan jangka pendek yang paling ketara pada pendapatan 2022 ialah sarung tangan (purata 10.3%), minyak dan gas (purata 10.1%) dan perbankan (purata 8.6%)," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Cukai Makmur ialah cukai khas sekali sahaja yang akan dikenakan kepada syarikat yang berpendapatan bercukai melebihi RM100 juta.
Tambah Kenanga Investment, pihaknya berpendapat bahawa untuk RM100 juta pertama, pendapatan bercukai akan dikenakan pada kadar 24%.
"Bagi baki pendapatan bercukai melebihi RM100 juta, kadar 33% akan dikenakan. Semua ini akan digunakan untuk tahun taksiran 2022," katanya.
Sementara itu firma penganalisis itu menyifatkan Bajet 2022 yang merupakan bajet pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) menumpukan ke arah usaha pemulihan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
"Seperti yang dijangkakan, Bajet 2022 dilengkapi dengan pelbagai langkah untuk menyokong rakyat dan perniagaan, membangunkan pertumbuhan baharu dan memastikan pertumbuhan yang mampan dalam persekitaran yang masih mencabar dan tidak menentu," katanya. -DagangNews.Com