Cukai Makmur, penurunan ASP 'cemari' prospek positif Hartalega - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Cukai Makmur, penurunan ASP 'cemari' prospek positif Hartalega - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Nov - Di sebalik merekodkan prestasi yang luar biasa pada suku kedua, prospek Hartalega Holdings Bhd. akan terus dipengaruhi dengan cadangan pelaksanaan Cukai Makmur seperti diumumkan kerajaan di bawah Bajet 2022, Jumaat lalu. 

 

Untung bersih Hartalega Holdings Bhd. melonjak 67.7% kepada RM914.01 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2021 berbanding RM544.96 juta bagi tempoh sama tahun ini manakala pendapatan juga meningkat 48.9% kepada RM2.01 bilion daripada RM1.35 bilion.

 

Bagaimanapun, bagi perbandingan suku ke suku, untung bersihnya susut 59.55% berbanding RM2.26 bilion bagi suku sebelumnya. Pendapatan juga susut hampir separuh daripada RM3.9 bilion pada suku pertama.

 

Dalam nota kajian, MIDF Research menyemak semula unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak -10.1% kepada RM3.59 bilion dan -4.4% kepada RM1.14 bilion. 

 

"Walaupun prospek kumpulan adalah positif, tetapi Hartalega merupakan antara beberapa syarikat yang akan terjejas teruk dengan pelaksanaan Cukai Makmur.

 

"Kami menganggarkan cukai ini akan menjejaskan perbelanjaan Hartalega sebanyak RM639.2 juta dalam anggaran pendapatan bagi FY22," katanya hari ini. 

 

Namun, firma itu berpendapat, kerugian yang diunjurkan ini akan sedikit berkurangan apabila harga purata jualan (ASP) sarung tangan nitril mulai stabil beberapa bulan akan datang.

 

"Kami juga menyemak semula anggaran pendapatan kami untuk FY23 mencerminkan kos pematuhan sosial yang lebih tinggi dan kos penukaran bahan mentah seperti yang dinyatakan oleh pihak pengurusan," tambahnya.

 

MIDF Research bagaimanapun mengekalkan unjuran 'beli' bagi saham Hartalega tetapi menyemak turun harga sasaran (TP) lebih rendah kepada RM8.03 berbanding RM8.40 sebelum ini.

 

Baca : Hartalega catat untung bersih Q2 sebanyak RM914 juta, jangka kesan ketara akibat Cukai Makmur

 

Baca : Penganalisis 'negatif' terhadap pelaksanaan Cukai Makmur, kerosakan pasaran dijangka lebih teruk

 

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara one-off, dikenali sebagai Cukai Makmur kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi di bawah Bajet 2022.

 

Ini membolehkan syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.

 

Kerajaan mengambil langkah ini memandangkan krisis pandemik COVID-19 telah meningkatkan keperluan untuk membiayai golongan rakyat yang terjejas. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, Hartalega turut menjangkakan pelaksanaan Cukai Makmur sekali sahaja akan menjejaskan pendapatan kumpulan dengan ketara pada separuh kedua tahun kewangan 2022 apabila ia digazetkan oleh kerajaan.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Research mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Hartalega dengan TP pada RM6.10.

 

Penganalisisnya, Sophie Chua Siu Li menyemak turun unjuran pendapatan bagi FY22, FY23 dan FY24 dengan masing-masing sebanyak 7%, 7% dan 10% setelah mengambil kira kadar penggunaan yang rendah dan kos jualan yang tinggi.

 

Katanya, Hartalega menjangkakan ASP bagi suku akan datang akan berlegar pada paras semasa sekitar AS$30 hingga AS$35 per 1,000 keping. 

 

"Pematuhan sosial, tenaga dan kos buruh yang lebih tinggi akan memastikan ASP meningkat berbanding sebelum pandemik dan untuk ASP mengekalkan tahap ini, usaha bersepadu daripada semua pengilang diperlukan, supaya tidak membanjiri pasaran dengan lebihan bekalan, dan memberi tekanan mengerah ke bawah tekanan ke atas harga. 

 

"Dengan mengambil kira permintaan yang lemah dan kekangan tenaga buruh, kadar penggunaan dalam beberapa bulan akan datang dijangka kekal di bawah 75%," katanya.

 

Bagi penganalisis AmInvestment Bank Research, Alan Lim Seong Chun pula, harga saham Hartalega kini dinilai di bawah paras sebelum pandemik dengan mengekalkan saranan 'pegang'.

 

"Kami mengurangkan nilai saksama kepada RM6 berbanding RM6.87 sebelum ini terutamanya disebabkan unjuran pendapatan yang lebih rendah pada FY23. 

 

"Malah, kami juga telah meningkatkan sasaran PE kami kepada 18x (daripada 15x) yang merupakan penilaian purata prapandemik untuk pembuat sarung tangan getah," jelasnya.

 

Menurut beliau, anggaran pendapatan bagi FY22 dikurangkan sebanyak 7% kepada RM4.15 bilion selepas mengambil kira kadar Cukai Makmur yang tinggi apabila ia dilaksanakan. 

 

Selain itu, katanya, unjuran pendapatan bagi FY23 juga dikurangkan sebanyak 27% kepada RM1.11 bilion ekoran pengurangan anggaran ASP kepada AS$27 (berbanding AS$30 sebelum ini). 

 

"Namun, kenaikan adalah terhad apabila aliran penurunan ASP semakin berterusan. Bagaimanapun, kami menjangkakan ini akan berakhir pada awal 2022. 

 

"Dengan itu, kelemahan itu juga terhad memandangkan harga sahamnya telah jatuh ke bawah paras prapandemik pada RM5.92, yang kali terakhir direkodkan pada 31 Januari 2020," katanya. 

 

Setakat 9.53 pagi ini, saham Hartalega menokok 14 sen atau 2.43% kepada RM5.89 dengan 1.47 juta saham diniagakan. - DagangNews.com