Dafinah Ahmed Hilmi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank | DagangNews Skip to main content

Dafinah Ahmed Hilmi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Jun - Hong Leong Islamic Bank Berhad telah melantik Dafinah Ahmed Hilmi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, bank tersebut berkata Dafinah mengganti Jasani Abdullah yang bersara pada hujung April 2023 selepas 16 tahun berkhidmat di bank tersebut, di mana beliau menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif selama enam tahun.

 

Tambahnya, Dafinah mempunyai pengalaman dalam bidang perbankan konvensional dan Islam selama 23 tahun.

 

Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan kepimpinan dalam pelbagai bidang di dalam industri perbankan, termasuk jawatan terakhirnya sebagai Pengarah Perbankan Komersial di HSBC Amanah Malaysia Berhad.

 

Selama 19 tahun sebelum ini, beliau telah berkhidmat di HSBC dalam sektor-sektor termasuk Global Banking & Markets, Global Trade & Receivables Finance, dan Perbankan Komersial patuh Shariah.

 

Dafinah yang memulakan kerjayanya di UOB Malaysia merupakan graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Alliance Manchester Business School, University of Manchester, United Kingdom (UK).

 

Beliau juga memiliki ijazah Perakaunan dan Pengurusan Kewangan dari University of Essex, UK.

 

Mengulas mengenai peranan baharu beliau, Dafinah berasa bangga diberi peluang untuk membawa bank itu ke landasan pertumbuhan yang menarik dalam sektor perbankan Islam di Malaysia.

 

“Dengan gabungan kukuh asas pendigitalan serta budaya mengutamakan pelanggan dan kelestarian, kami berada dalam kedudukan baik untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang dan seterusnya menjana nilai dan impak jangka panjang beterusan bagi semua pihak berkepentingan.” -DagangNews.com