Daftar Safe@Work di CIMS mulai 1 April - MITI | DagangNews Skip to main content

Daftar Safe@Work di CIMS mulai 1 April - MITI

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Mac - Syarikat dalam sektor perkilangan yang berhasrat untuk mendaftar bagi program Safe@Work boleh boleh melakukan demikian menerusi COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) mulai 1 April 2021. 

 

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, setakat 16 Mac 2021, sektor perkilangan menyumbang sebanyak 58.1% atau 194 kluster daripada kes-kes COVID-19 di negara ini.

 

Oleh itu, katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengambil langkah proaktif dan responsif dengan memperkenalkan Safe@Work untuk mengimbangi kelangsungan operasi sektor perkilangan dengan pengawalan penularan pandemik dalam kalangan pekerja.

 

“Safe@Work adalah prosedur operasi standard (SOP) yang boleh dilaksanakan oleh syarikat-syarikat di sektor perkilangan yang merangkumi tanggungjawab majikan menyediakan penginapan pekerja yang selamat serta mematuhi piawaian di bawah Akta Standard Minimum Penginapan dan Perumahan Pekerja 1990 (Akta 446), pengurusan kes-kes pekerja positif dan kontak rapat, saringan kesihatan serta langkah-langkah pencegahan penularan pandemik COVID-19 di kalangan pekerja.

 

“Inisiatif ini berupaya mengelakkan gangguan operasi syarikat dan mengurangkan impak terhadap produktiviti apabila terdapat kes positif COVID-19 di premis perniagaan. 

 

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin Ali

 

“Kerajaan berpandangan bahawa komitmen dan sokongan daripada majikan adalah penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan para pekerja terjamin. Usaha ini amat penting demi menyumbang kepada kelangsungan aktiviti ekonomi,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program Safe@Work dibenarkan beroperasi dengan pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan di dalam “Safe Work Bubble” sehingga mereka disahkan selamat daripada COVID-19. 

 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dalam merancakkan ekonomi negara yang kini berada di tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi. 

 

Dalam masa sama, sebagai galakan kepada syarikat-syarikat yang melaksanakan Safe@Work, kerajaan akan memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat di bawah sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan. 

 

Mengulas mengenai insentif itu, Mohamed Azmin berkata, ini melibatkan perbelanjaan sewaan premis asrama pekerja dan penyediaan kelengkapan berkaitan seperti CCTV, wearable tracking devices dan keperluan-keperluan asas lain selaras dengan SOP Safe@Work. 

 

Perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan itu dihadkan kepada RM50,000 bagi setiap syarikat, ujar beliau.

 

Tambah Mohamed Azmin, Safe@Work telah dirangka berdasarkan sesi libat urus dan rundingan dengan pihak berkepentingan sektor awam dan swasta merangkumi Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Tenaga Kerja, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), persatuan-persatuan industri serta dewan-dewan perniagaan tempatan dan antarabangsa. 

 

“Berdasarkan amalan semasa, pekerja kontak rapat wajib dikuarantin dan tidak dibenarkan bekerja sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan bebas COVID-19 selepas menjalani ujian saringan kesihatan. 

 

“Kini, inisiatif Safe@Work akan membolehkan pekerja-pekerja kontak rapat untuk terus bekerja dalam situasi protokol baharu yang dinamakan Safe Work Bubble. Pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada COVID-19 berdasarkan keputusan ujian saringan,” katanya lagi. 

 

Beberapa aspek utama yang diberikan penekanan di bawah “Safe Work Bubble” adalah seperti berikut: 

 

i. Pewujudan Safe Work Bubble bagi pekerja kontak rapat di kawasan kilang dan premis penginapan pekerja;

 

ii. Penubuhan Pasukan Persediaan dan Tindakbalas Kecemasan COVID-19 (PERT) oleh pihak syarikat bagi penyediaan dan pelaksanaan tatacara mengurus kes-kes kecemasan; 

 

iii. Proses sanitasi berterusan di premis perkilangan; 

 

iv. Kebenaran penggunaan kenderaan pekerja dengan kapasiti penuh;

 

v. Penyediaan dan pengurusan penginapan pekerja yang kondusif; 

 

vi. Pelaksanaan saringan bersasar untuk pekerja sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan; dan 

 

vii. Penyediaan saluran maklumat berkaitan tatacara kawalan pandemik daripada majikan kepada pekerja.

 

Mohamed Azmin berkata, MITI berharap dengan adanya Safe@Work,  syarikat-syarikat di dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan akan mempertingkatkan tahap pematuhan SOP masing-masing bagi memastikan syarikat dapat terus beroperasi seperti biasa. 

 

Ini adalah selari dengan Whole-Of-Society Approach untuk memupuk sikap self-reliance dan semangat kebertanggungjawaban dalam masyarakat, ujarnya.

 

“Dalam konteks ini, peranan dan tanggungjawab industri lebih mendesak untuk bersama-sama merealisasikan hasrat Kerajaan mengimbangi tuntutan melindungi keselamatan dan nyawa dengan kelangsungan ekonomi,” tambah beliau. - DagangNews.com