Dagangan Malaysia antara ekonomi ASEAN-6 tonjol peningkatan terbaik  | DagangNews Skip to main content

Dagangan Malaysia antara ekonomi ASEAN-6 tonjol peningkatan terbaik 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. -  Malaysia antara ekonomi ASEAN-6 yang menunjukkan peningkatan lebihan dagangan terbaik  antara Mac dan November serta Disember 2020. 

 

ASEAN-6 melibatkan ekonomi Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan tambahan, India. 

 

Berdasarkan purata data dari Mac 2020 hingga terkini, India menunjukkan peningkatan tertinggi berbanding defisit dagangannya pada tahun 2017 hingga 2019 (menghampiri 3 sisihan piawai). 

 

Ini diikuti oleh Filipina, Indonesia dan Malaysia, menurut laporan Standard Chartered. 

 

“Lebihan dagangan Malaysia, Indonesia dan Filipina kekal melebihi 1.5 sisihan piawai daripada paras sebelum ini. 

 

Trade balance ASEAN-6

 

“Malah, lebihan dagangan Malaysia dan Indonesia bertambah lebih baik pada tempoh tiga bulan lalu. 

 

“Beberapa ekonomi telah menyaksikan peningkatan lebih baik dari segi import mereka berbanding eksport,” jelas bank itu hari ini. 

 

Berdasarkan data yang ditunjukkan Standard Chartered, lebihan dagangan India telah kembali ke paras 2017 hingga 2019 pada tiga bulan lalu. 

 

Impak COVID-19 ke atas dagangan pada 2020 telah mendorong kepada penambahbaikan yang signifikan dari segi lebihan dagangan ekonomi ASEAN-6 dan India terutamanya didorong oleh import yang menguncup lebih besar berbanding eksport. 

 

Menurut bank itu, ASEAN-6 menyaksikan lebihan dagangan dua kali ganda berbanding paras 2018 hingga 2019. 

 

Jelasnya, purata lebihan dagangan Indonesia menokok kepada AS$1.8 bilion setiap bulan berbanding purata defisit bulanan sebanyak AS$0.3 bilion hingga AS$0.7 bilion pada 2018 dan 2019. 

 

“Seperti yang dijangka, kedua-dua eksport dan import menunjukkan prestasi lemah pada 2020 berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan import menguncup lebih besar. 

 

“Berdasarkan data tiga bulan lalu, kedua-dua eksport dan import mula kembali normal, didahului oleh eksport. 

 

Trade balance ASEAN-6

 

“Kami percaya eksport akan melonjak lebih baik memandangkan ekonomi global akan terus pulih. Eksport barangan elektronik menjadi pemacu kepada pemulihan, tetapi komoditi mempunyai skop untuk melonjak pada 2021,” tambah Standard Chartered. 

 

Dari segi modal barangan, Filipina ketinggalan daripada paras sebelum ini dan bagi Standard Chartered, ini bukan sesuatu yang mengejutkan. 

 

Ujar bank berkenaan, pandemik COVID-19 telah menyebabkan pembangunan infrastruktur lebih perlahan di negara itu terutamanya jika dibandingkan dengan tahun 2017 hingga 2019. 

 

Situasi sama mungkin ditonjolkan oleh Malaysia dan Indonesia memandangkan kerajaan di kedua-dua negara berkenaan meningkatkan pembangunan perbelanjaan. 

 

Perbelanjaan ASEAN-6

 

“Namun, masa mungkin menjadi masalah, dan kami menjangkakan kenaikan yang lebih jelas hanya pada separuh kedua 2021, ketika krisis pandemik dilihat dapat dikawal dengan lebih baik,” jelas Standard Chartered lanjut. - DagangNews.com