Dagangan sekuriti Jerasia terus digantung sehingga dimaklumkan kemudian | DagangNews Skip to main content

Dagangan sekuriti Jerasia terus digantung sehingga dimaklumkan kemudian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Dagangan sekuriti Jerasia Capital Berhad akan terus digantung bermula 9 pagi esok hingga dimaklumkan kemudian.

 

Bursa Malaysia berkata, saham pengeluar pakaian dan peruncit fesyen itu akan digantung kerana gagal menyerahkan laporan suku tahunan tertunggaknya bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mei 2023 pada atau sebelum 7 Ogos 2023.

 

Katanya, menurut keperluan penyenaraian Pasaran Utama, sekiranya penerbit tersenarai gagal mengeluarkan penyata kewangan tertunggak dalam tempoh lima hari pasaran selepas tamat tempoh masa yang berkaitan, Bursa Malaysia akan menggantung dagangan dalam sekuriti penerbit tersenarai tersebut. 

 

Awal bulan ini, syarikat yang mengalami masalah kewangan itu juga tidak dapat memenuhi keperluannya untuk menyerahkan laporan kewangan suku tahunannya pada tarikh akhir 31 Julai 2023 dan ia mengaitkan kelewatan itu kepada kehilangan tenaga kerja yang ketara dan kehilangan kakitangan kewangan kritikal.

 

"Syarikat sedang mengambil langkah serius ke arah mengenal pasti calon pengganti yang sesuai untuk membetulkan isu ini dan memuktamadkan laporan suku tahunannya," kata kumpulan itu, sambil menambah bahawa lebih banyak masa diperlukan untuk memuktamadkan laporannya.

 

Dalam makluman berasingan, kumpulan itu berkata, ia akan mengeluarkan dan menyerahkan laporan suku tahunannya kepada Bursa Malaysia selewat-lewatnya 18 Ogos 2023.

 

Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) itu turut memaklumkan bahawa mereka telah memohon kepada Bursa Malaysia untuk lanjutan masa sehingga 20 Julai 2024 untuk mengemukakan pelan penyusunan semula dan rayuan terhadap penyahsenaraian syarikat itu daripada Pasaran Utama.

 

Jerasia jatuh ke dalam status PN17 pada Januari 2022 kerana ekuiti pemegang sahamnya pada asas disatukan adalah 25% atau kurang daripada modal sahamnya.

 

Dagangan saham Jerasia juga digantung pada 25 April, berikutan perintah penggulungan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap syarikat itu berhubung hutang belum dibayar berjumlah RM28.81 juta oleh anak syarikat milik penuhnya Canteran Apparel Sdn. Bhd. - DagangNews.com