KUALA LUMPUR 19 Dis - Bursa Malaysia Securities Bhd. akan menggantung urus niaga Serba Dinamik Holdings Bhd. mulai Jumaat ini sekiranya syarikat itu gagal memenuhi tarikh akhir penghantaran laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22).
Ini berikutan pada 15 Disember lalu, syarikat minyak dan gas itu gagal mengemukakan laporan tahunan seperti ditetapkan Bursa Malaysia pada 1 November 2022.
Sebaliknya, dalam makluman pada Jumaat, Serba Dinamik berharap dapat mengemukakan laporan tersebut pada 22 Disember ini selepas melengkapkan kenyataan kewangan tahunan yang diaudit.
Dalam makluman hari ini, Bursa Malaysia berkata, berdasarkan perenggan 9.28(5) Keperluan Penyenaraian (LR) Utama, jika penerbit tersenarai gagal mengeluarkan penyata kewangan tertunggak dalam tempoh lima hari pasaran selepas tamat tempoh masa yang berkaitan yang dinyatakan dalam perenggan 9.23(1) LR Utama atau lanjutan masa sedemikian yang diberikan oleh Bursa Securities, sebagai tambahan kepada sebarang tindakan penguatkuasaan yang mungkin diambil oleh Bursa Securities, Bursa Securities akan menggantung dagangan sekuriti tersebut.
"Penggantungan hendaklah dilaksanakan pada hari pasaran berikutnya selepas tarikh akhir penggantungan.
"Sekiranya Serba Dinamik gagal mengemukakan laporan tahunan FY22 pada atau sebelum 22 Disember 2022, dagangan syarikat akan digantung berkuatkuasa Jumaat ini (23 Disember) pukul 9.00 pagi sehingga dimaklumkan kelak," katanya.
Bursa Malaysia juga menegaskan, berdasarkan kepada perenggan 9.28(6) LR Utama, jika penerbit tersenarai gagal mengemukakan penyata kewangan dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir ditetapkan, prosedur nyahsenarai akan dikuatkuasakan.
Serba Dinamik pernah digantung dagangan selama enam bulan pada Oktober 2021 kerana syarikat tidak mematuhi arahan Bursa Malaysia.
Isu itu timbul apabila juruaudit luar, KPMG ketika itu menunjukkan urus niaga yang didakwa bernilai lebih RM4.54 bilion pada Mei 2021.
Setakat 3.58 petang ini, harga saham Serba Dinamik susut 0.5 sen atau 25% kepada 1.5 sen dengan 39.76 juta saham diniagakan. - DagangNews.com