Dakwaan 84% kanak-kanak Sarawak kurang zat makanan dalam iklan Alliance Bank memeranjatkan Kerajaan Negeri | DagangNews Skip to main content

Dakwaan 84% kanak-kanak Sarawak kurang zat makanan dalam iklan Alliance Bank memeranjatkan Kerajaan Negeri

Oleh Mohamad Iman

KUCHING 5 Mac — Satu pernyataan mendakwa 84 peratus kanak-kanak Sarawak kurang zat makanan yang diketengahkan dalam kempen pembiayaan sosial sebuah bank mengejutkan kerajaan negeri tersebut.

 

Paparan pada laman web Alliance Bank menunjukkan kempen bertajuk 'Beri Makanan Kepada Seorang Kanak-kanak Hari ini Derma Anda Melawan Kebuluran, Menyuburkan Impian’, yang turut memetik Laporan Tinjauan Pendapatan Isi Rumah 2022 (Jabatan Perangkaan Malaysia) yang menyatakan bahawa lebih 97,000 keluarga miskin tegar tinggal di kawasan luar bandar Sarawak.

 

 

alliance
Paparan kempen Alliance Bank https://www.alliancebank.com.my/SocioBizYOUTH

 

 

Dalam satu kenyataan, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Seri Fatimah Abdullah menyifatkan tajuk kempen itu sebagai ‘mengejutkan’, menurut laporan The Borneo Post.

 

“Untuk mengatakan bahawa 84 peratus kanak-kanak Sarawak kekurangan zat makanan, ini mengejutkan saya, terutamanya apabila statistik Institut Kesihatan Negara menunjukkan bahawa pada 2016, 19.4 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun kurang berat badan; pada 2023, angka itu ialah 15.6 peratus,” katanya.

 

Di Sarawak, menurut Fatimah, kerajaan negeri telah menyediakan Geran Khas Tahunan (GTK) untuk institusi pembelajaran awal kanak-kanak yang berdaftar sejak 2019.

 

 

Datuk Seri Fatimah Abdullah
Datuk Seri Fatimah Abdullah

 

 

“GTK boleh digunakan untuk menyediakan makanan seimbang dan sihat kepada kanak-kanak, serta memudahkan proses pembelajaran yang menyeronokkan, pembelajaran berasaskan pengalaman dan pendigitalan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak.

 

“Ia juga termasuk program penglibatan ibu bapa, dan pembangunan profesional berterusan untuk pendidik dan penjaga.

 

“Sejak 2019, geran ini telah membantu 13,716 institusi pembelajaran awal kanak-kanak menerusi jumlah peruntukan RM68.84 juta.

 

“Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut melaksanakan ‘Program Makanan Tambahan’ (RMT) untuk murid sekolah.

 

“Jika boleh diberikan nama sekolah (di Sarawak) yang dimaksudkan untuk disediakan makanan, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri dan Jabatan Pendidikan negeri boleh mengesahkan keadaan di lapangan, sama ada mereka menerima RMT, yang merupakan program yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan,” kata Fatimah.- DagangNews.com