LTAT dapat jaminan kerajaan untuk pinjam RM2 bilion selamatkan BPlant | DagangNews Skip to main content

LTAT dapat jaminan kerajaan untuk pinjam RM2 bilion selamatkan BPlant

KUALA LUMPUR 10 Okt - Kementerian Kewangan bersetuju memberikan jaminan kerajaan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk membuat pinjaman RM2 bilion bagi melaksanakan tawaran am yang dicadangkan untuk menswastakan 68.01% Boustead Plantations Bhd yang dikawalnya pada RM1.55 sesaham.

 

Perkara itu didedahkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan di Dewan Rakyat pada Isnin.

 

LTAT dijangka membelanjakan RM1.11 bilion untuk memperoleh baki 716.66 juta saham yang bersamaan dengan 31.99% pegangan dalam BPlant yang tidak dikawalnya.

 

“Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri, Kementerian Kewangan bersetuju memberikan jaminan kerajaan kepada LTAT bagi membolehkan dana memperoleh pinjaman sebanyak RM2 bilion daripada institusi kewangan bagi melaksanakan tawaran am untuk BPlant,” kata Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tok Mat: LTAT meneruskan pembelian Boustead Plantations untuk elak tindakan undang-undang

 

Mohamad juga mengulangi bahawa Boustead Holdings Bhd milik penuh LTAT mempunyai pelbagai obligasi hutang jangka pendek untuk dipenuhi.

 

Ini termasuk pembayaran balik RM159 juta dalam kemudahan kredit pusingan serta penebusan RM607 juta dalam sukuk kekal menjelang Disember tahun ini, dan pembayaran RM1.65 bilion dalam Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) menjelang September 2024, kata Mohamad .

 

Sebelum tahun ini berakhir, Boustead, yang diswastakan oleh LTAT awal tahun ini, memerlukan RM800 juta untuk memenuhi obligasi hutangnya, kata Mohamad.

 

Menurutnya, jumlah hutang kumpulan Boustead kini berjumlah RM6.8 bilion.- DagangNews.com