Dari pasar malam ke premis sendiri, Sahabat Usahawan AIM bangga miliki dua cawangan kedai emas | DagangNews Skip to main content

Dari pasar malam ke premis sendiri, Sahabat Usahawan AIM bangga miliki dua cawangan kedai emas

Nur Syamimi Rosli (kiri) menunjukkan koleksi barang kemas di premisnya, Mimiey D’ Jewels.

KUANTAN 28 Okt - Bermula dengan berniaga pelbagai barangan kemas perak di pasar malam, seorang graduan kini boleh berbangga apabila mampu memiliki dua cawangan kedai emas Mimiey D’ Jewels iaitu di Pekan dan Kuantan.


  
Memiliki Ijazah Jurusan Seni Reka Logam Halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Nur Syamimi Rosli, 33, mula terbabit menghasilkan barangan hiasan lelaki dan wanita sejak 2013 dengan bermodalkan sebanyak RM3,000.


  
Menurutnya, selain menghasilkan barangan hiasan daripada emas, perak dan suasa, dia turut menyediakan perkhidmatan menjual serta membeli emas terpakai. Perkhidmatan lain yang turut disediakan ialah membaiki barangan rosak dan mencuci.

 

“Kemahiran dan pengalaman yang saya miliki dibantu kakitangan membolehkan saya menerima tempahan pelbagai barangan perhiasan lelaki dan wanita yang diperbuat daripada emas, suasa dan perak.

 

"Saya menerima tempahan daripada semua peringkat masyarakat termasuk kerabat diraja Pahang. Menghasilkan barangan yang berkualiti dan unik menjadi faktor saya banyak menerima tempahan sepanjang tahun.


 
"Pelanggan saya bukan sahaja terdiri daripada penduduk Pahang tetapi turut membabitkan mereka yang menetap dibeberapa negeri seperti Johor dan Negeri Sembilan," kata ibu pada tiga cahaya mata itu.


 
Nur Syamimi berkata, antara tarikan koleksi barang kemas yang berjaya diketengahkan adalah tempahan rantai dan gelang ukiran mengikut permintaan pelanggan.

 

 

AIM

 

 

AIM

 

Katanya, persaingan jualan barangan emas sememangnya sengit namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berjaya dalam perniagaan terbabit.

 

Ujarnya, jualan secara dalam talian yang digunakan ternyata mendapat sambutan menggalakan, setiap hari pihaknya bersiaran langsung dengan pelanggan seluruh negara.

 

 

AIM

 

 

AIM
Nur Syamimi Rosli berbangga memiliki dua premis cawangan Mimiey D’ Jewels.

 

 

Tambahnya lagi, permintaan barangan emas, suasa dan perak berlaku sepanjang tahun. Musim perayaan antara bulan yang jualan meningkat dua hingga tiga kali ganda.

 

"Saya mempunyai pasukan 10 kakitangan wanita yang berpengalaman dan begitu komited dengan tugas masing-masing. Kejayaan saya dalam perniagaan barangan emas banyak dibantu mereka.

 

 

AIM

 

 

AIM
Nur Syamimi Rosli bersyukur memiliki kakitangan dan pasukan yang komited membantunya.

 

 

AIM
Nur Syamimi Rosli menunjukkan rantai dan gelang ukiran nama mengikut permintaan pelanggan.

 

“Cita-cita saya ingin membuka lebih banyak lagi kedai emas di daerah lain di Pahang selain membuka kilang dan memperluaskan lagi akademi latihan menghasilkan barangan emas.

 

"Kejayaan saya hari ini hasil sokongan dan bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang mula menyediakan modal bermula RM3,000. Saya kini terus bergantung pada AIM dalam menyediakan pinjaman," katanya. - DagangNews.com