Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 April - Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak ada sebarang motif yang berniat jahat di sebalik pengisytiharan darurat sejak Januari lalu.
Malah, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, darurat sama sekali tidak akan digunakan untuk melanggar hak asasi manusia, harta persendirian mahupun hak perundangan.
"Satu-satunya rasional di sebalik darurat ini adalah bagi melaksanakan langkah-langkah perundangan yang perlu bagi menguruskan pandemik COVID-19.
"Ini meliputi penggunaan berkaitan aset hospital swasta, pemilikan tanah sementara, bangunan atau harta benda swasta bergerak dan bagi membolehkan penggunaan hospital swasta untuk merawat pesakit COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis perjumpaan bersama pihak industri hari ini. Yang turut hadir, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali dan Timbalannya, Senator Datuk Lim Ban Hong serta presiden pertubuhan industri dan dewan perniagaan.
Pada majlis itu, Perdana Menteri juga menggesa semua pemain industri supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di tempat kerja dan bekerjasama dengan kerajaan dalam mematuhi Akta 446.
Ini kerana katanya, kerajaan tidak akan melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP), sebaliknya tindakan bersasar akan dilaksanakan di lokasi yang menjadi tumpuan jangkitan.
"Hanya dengan memastikan pandemik ini dapat diatasi, maka gangguan perniagaan dikurangkan dan kelestarian ekonomi dapat dicapai," katanya.
Menurut beliau, pelancaran program vaksin COVID-19 akan menjadi tunjang ke arah pemulihan ekonomi yang kini memasuki fasa kedua.
Tambahan pula, Bank Negara Malaysia mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang pada 6 hingga 7.5% tahun ini didorong pemulihan yang stabil dalam aktiviti domestik dan permintaan luaran.
"Jika lebih ramai divaksinkan, saya yakin kita akan berada di ambang kejayaan untuk menamatkan wabak ini berkesan," katanya. - DagangNews.com