Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Kerajaan memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia dan para pelabur bahawa pentadbiran negara sentiasa disokong oleh sistem kewangan yang teratur, termasuk pasaran kewangan dan pasaran modal.
Ini termasuk, pasaran modal Malaysia yang akan terus beroperasi bagi menyokong dan memudah cara proses pengumpulan dana (fundraising), perdagangan dan pelaburan, dengan semua fungsi pengawalseliaan yang dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB), PKP Pemulihan (PKPP) dan Ordinan Darurat.
Ini penting untuk menyokong ketahanan dan pemulihan ekonomi Malaysia, serta membantu pelabur menguruskan peluang dan risiko pelaburan dalam tempoh tersebut, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Ujarnya, Malaysia mempunyai ekosistem pasaran modal yang berdaya tahan, disokong oleh kecairan yang tinggi.
“Mekanisme pengurusan pasaran tersedia untuk mengawal turun naik (volatility). Dana pelepasan (clearing funds), serta susun atur margin dan simpanan juga sedia ada untuk memastikan risiko penyelesaian dan pelepasan (clearing and settlement risk) sentiasa terurus.
“Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bersama dengan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan semasa demi pengurusan risiko secara proaktif di pasaran, dan akan melaksanakan langkah pencegahan tambahan, berdasarkan kesesuaian,” jelasnya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Pada pengumuman khas Proklamasi Darurat pagi ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu Bank Negara Malaysia (BNM), SC serta Bursa Malaysia, akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin, pengawal selia dan pemudahcara syarikat dan pasaran.
Senada itu, Tengku Zafrul berkata, dari segi intermediasi kewangan dan sistem pembayaran, operasi institusi kewangan dan pasaran kewangan akan diteruskan seperti biasa, dengan perkhidmatan yang terus tersedia dan boleh diakses oleh peminjam.
BNM akan memantau keadaan pasaran kewangan bagi memastikan mudah tunai dalam pertukaran asing, pasaran bon dan pasaran wang (termasuk repo) mencukupi, serta keadaan pasaran kekal teratur, katanya lagi.
“Penampan sistem perbankan Malaysia dan amalan pengurusan risiko yang mantap dijangka mampu mengurangkan kesan sebarang potensi penurunan kualiti kredit dan terus menyokong pemberian pinjaman oleh bank kepada ekonomi semasa tempoh Ordinan Darurat dan pelaksanaan pelbagai variasi PKP ini.
“Memandang ke hadapan, kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan Malaysia kekal di atas landasan pemulihan pada tahun ini. Yang lebih penting, kita mempunyai kecairan domestik yang mencukupi bagi rangsangan fiskal tambahan untuk menyokong kehidupan, mata pencarian dan perniagaan, jika perlu.
“Kementerian Kewangan juga telah mula mempertimbangkan pelbagai langkah untuk mendukung rakyat dan perniagaan selama tempoh ini. Kita tidak akan berkompromi terhadap kelangsungan hidup rakyat serta perniagaan,” tambahnya. - DagangNews.com