Dayang Enterprise terima lanjutan kontrak penyelenggaraan selama setahun lima bulan daripada JX Nippon | DagangNews Skip to main content

Dayang Enterprise terima lanjutan kontrak penyelenggaraan selama setahun lima bulan daripada JX Nippon

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - Dayang Enterprise Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Dayang Enterprise Sdn. Bhd. dianugerahkan pindaan dan lanjutan kontrak peruntukan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian Pan Malaysia (PM-MCM) selama setahun lima bulan daripada JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited (JX Nippon).

 

Kumpulan itu berkata, nilai kontrak itu adalah berdasarkan tempahan kerja yang dikemukakan JX Nippon sepanjang tempoh kontrak.

 

"Lanjutan kontrak itu berkuat kuasa 17 Julai 2023 hingga 31 Disember 2024," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, faktor risiko yang mempengaruhi kontrak itu  termasuk risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga kerja mahir dan bahan, perubahan harga bahan, perubahan dalam keadaan politik, ekonomi dan peraturan.

 

Kumpulan itu akan memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan dan operasi dalam pelaksanaan keperluan kontrak.

 

"Kontrak itu tidak akan memberi kesan ke atas modal terbitan syarikat dan dijangka menyumbang kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak," katanya.- DagangNews.com