KUALA LUMPUR 16 Ogos - DE-CIX, pengendali ibu sawat Internet terkemuka dunia telah memeterai perjanjian usaha sama dengan BasicBrix, sebuah pembekal teknologi IT terkemuka, yang menjadi rakan kongsi DirectCLOUD tempatan pertama DE-CIX dari rantau Asia Tenggara.
Kerjasama ini membantu syarikat-syarikat di Malaysia menikmati sokongan teknologi boleh dipercayai dan berpatutan bagi mengembangkan perniagaan mereka pada peringkat global menerusi rangkaian perkhidmatan awan dan infrastruktur menjimatkan kos serta selamat.
Syarikat-syarikat yang telah bertapak kukuh, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pemaju digital dan institusi-institusi pendidikan akan berupaya memanfaatkan faedah daripada pengkomputeran awan menerusi gabungan perkhidmatan lancar daripada BasicBrix dan ketersambungan berprestasi tinggi serta selamat dari DirectCLOUD.
Kelebihan ini akan membantu perniagaan untuk memintas sambungan umum internet bagi meningkatkan keselamatan, mengurangkan masa menunggu serta menjamin ketersambungan berterusan kepada penyedia perkhidmatan berasaskan awan pilihan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif DE-CIX International, Ivo Ivanov berkata, dalam tempoh yang mencabar ini, PKS turut sama berminat untuk menerapkan penggunaan teknologi internet terkini yang telah digunakan syarikat-syarikat dan penyedia perkhidmatan terkemuka pada peringkat global.
"Dengan DirectCLOUD, perniagaan-perniagaan Malaysia akan menikmati ketersambungan lancar kepada perkhidmatan berasaskan awan BasicBrix, sekali gus membolehkan mereka dikenali sebagai syarikat berjaya dan sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini.
"Kami membekalkan perkhidmatan kesalinghubungan terbaik untuk perniagaan dan orang ramai dan kami amat komited kepada rantau Asia Tenggara.
"Kami sedang berusaha meluaskan ekosistem rakan kongsi DirectCLOUD global DE-CIX dengan pembekal perkhidmatan berasaskan awan peringkat serantau dan global yang aktif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gabungan kekuatan teknologi DE-CIX dan penyelesaian teknologi BasicBrix membuka peluang yang luas di Malaysia menerusi enam pusat data terpenting DE-CIX di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Ketua Pegawai Eksekutif BasicBrix, Timothy Chan pula berkata, mereka komited untuk menawarkan teknologi pengkomputeran awan yang dipercayai, mudah, dan berpatutan kepada rantau ini.
"Antara matlamat kami adalah untuk menerapkan pelbagai teknologi berasaskan awan canggih pada peringkat tempatan bagi memenuhi keperluan perniagaan dan organisasi tempatan yang bersifat khusus serta pelbagai.
"Kami yakin kombinasi tawaran kami bersama DE-CIX akan membantu syarikat-syarikat tempatan untuk mencapai tahap keselamatan, privasi dan kelajuan yang belum dicapai sebelum ini, seiring dengan pengukuhan kedudukan kami di Singapura dan Malaysia dalam penggunaan teknologi berasaskan awan di rantau ini," katanya. - DagangNews.com