DeepGlint anjur seminar perkenal teknologi AI kepada pelajar TAR UMT | DagangNews Skip to main content

DeepGlint anjur seminar perkenal teknologi AI kepada pelajar TAR UMT

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac - Syarikat tersenarai China, DeepGlint Technology Co Ltd menganjurkan seminar dengan kerjasama Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) untuk memperkenalkan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) DeepGlint kepada 120 pelajar sains komputer.

 

DeepGlint berkata, pihaknya sebagai peneraju dalam AI, penglihatan komputer dan analisis data besar mempamerkan rumusan inovatif kumpulan yang merentas pelbagai domain, termasuk ‘metaverse’, sukan pintar dan pengurusan trafik. 

 

Melalui seminar itu katanya, para pelajar dapat menambahkan pengetahuan tentang teknologi termaju serta projek-projek kumpulan tersebut yang memberikan impak.

 

"Seminar ini juga merupakan satu langkah penting ke arah mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap AI global, sejajar dengan visi Malaysia untuk pertukaran bakat lebih besar dengan negara China.

 

"Selain itu, DeepGlint turut mengumumkan kerjasama dengan syarikat AI Malaysia, DeepCore Sdn Bhd. 

 

"Dalam usaha gabungan ini, kedua-dua syarikat akan bertumpu untuk mengumpil bakat dan sumber tempatan untuk memajukan lagi teknologi dan rumusan AI, bagi mengukuhkan peranan strategik Malaysia dalam ekosistem teknologi global," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut kenyataan itu, DeepCore dan TAR UMT juga meneroka untuk merekrut pelajar-pelajar bagi program pertukaran bakat yang mana mereka yang terpilih akan mendapat latihan dan pengalaman praktikal dalam persekitaran perniagaan AI di ibu pejabat DeepGlint di Beijing, China. 

 

 

deepglint

 

 

Katanya, calon-calon yang berjaya akan diberi peluang pekerjaan sepenuh masa dengan DeepCore atau ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DeepGlint, Zhao Yong berkata, pihaknya komited untuk memperkasakan minda muda dan merapatkan jurang antara akademik dan industri. 

 

"Rakan kongsi kami, DeepCore adalah bukti kepercayaan kami terhadap potensi Malaysia sebagai pemain utama dalam revolusi AI merentasi pasaran ASEAN dan Timur Tengah. 

 

"Program pertukaran bakat membolehkan kami mencari bakat dan pada masa sama, menyumbang kepada pembangunan AI di Malaysia dan ASEAN," katanya. - DagangNews.com