KUALA LUMPUR 30 Ogos - Deleum Berhad dijangka mampu memanfaatkan peningkatan permintaan untuk aktiviti huluan pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23), sejajar dengan peningkatan perbelanjaan modal.
MIDF Research berkata ia kekal positif terhadap unjuran minyak dan gas huluan di peringkat global, seiring dengan perbelanjaan modal yang lebih tinggi di bahagian tersebut dan harga minyak mentah Brent yang kukuh.
“Kami menjangkakan Deleum mempamerkan daya tahan yang sama pada 2HFY23 dan mendapat manfaat daripada aktiviti penerokaan dan pengeluaran yang semakin meningkat.
“Kami percaya Deleum mampu memperoleh kelebihan daripada sentimen positif ini memandangkan permintaan untuk perkhidmatan pengubahsuaian dan penyelenggaraan pada pelantar platform dan kapal pengeluaran terapung dijangka kekal tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Memandangkan keputusan 2QFY23 berada di bawah jangkaan, firma itu melaraskan unjuran pendapatan Deleum untuk FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 17% dan 20%.
“Oleh itu, kami melaraskan unjuran pendapatan dengan sewajarnya, sejajar dengan hasil dan pendapatan yang lebih rendah dalam segmen rumusan kakisan bersepadu kumpulan,” katanya susulan Deleum mencatat pendapatan separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) di bawah jangkaan firma pada 37%.
Menurut firma itu, pendapatan Deleum mencatat peningkatan 10% tahun ke tahun namun disebabkan jualan yang lebih tinggi dalam segmen kuasa dan jentera, namun diimbangi oleh penurunan aktiviti dalam segmen-segmen lain iaitu perkhidmatan medan minyak dan rumusan kakisan bersepadu.
Bagaimanapun, firma itu berpendapat bahawa kumpulan itu masih berada dalam trajektori yang betul kerana hasil dan pendapatan sering mendapat tarikan pada suku keempat ketika penyelenggaraan dan pembaikan dilaksanakan.
Oleh itu, MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM1.19 sesaham daripada RM1.26 sebelumnya.
Jelasnya, saranan tersebut dikekalkan kerana kumpulan itu masih menjana keuntungan untuk tahun ini melalui segmen kuasa dan jentera, sejajar dengan peningkatan dalam aktiviti huluan di peringkat global, yang mana Deleum mampu memanfaatkannya dalam jangka masa panjang.
Pada waktu penulisan, saham Deleum naik 1 sen atau 1.1% kepada 91 sen, memberi kumpulan itu permodalan pasaran bernilai RM365.4 juta. - DagangNews.com