Devanesan Evanson bersara sebagai ketua eksekutif MSWG, pengganti akan diumum Januari 2024 | DagangNews Skip to main content

Devanesan Evanson bersara sebagai ketua eksekutif MSWG, pengganti akan diumum Januari 2024

KUALA LUMPUR 29 Dis - Devanesan Evanson telah bersara sebagai ketua pegawai eksekutif dan ahli lembaga pengarah Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) berkuat kuasa 19 Dis 2023.

 

Pengerusi MSWG Datuk Mohd Nasir Ali berkata seorang CEO baharu telah dikenal pasti dan diluluskan, dan lembaga pengarah dijadualkan membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikan pengganti menjelang pertengahan Januari 2024.

 

“Calon membawa banyak pengalaman dan kepakaran, sejajar dengan komitmen MSWG untuk menegakkan kepentingan pemegang saham minoriti dan memajukan tadbir urus korporat dan piawaian kemampanan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.


 

Datuk Mohd Nasir Ali
                 Datuk Mohd Nasir Ali

 


MSWG berkata sejak pelantikan Devanesan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 19 Dis 2017, beliau telah memainkan peranan penting dalam memupuk aktivisme pemegang saham minoriti dan tadbir urus korporat yang lebih besar di Malaysia.

 

“Di bawah pengawasannya, MSWG mengukuhkan kehadirannya sebagai suara kolektif kepada pemegang saham minoriti dan meluaskan portfolio pemantauannya dengan ketara daripada 250 PLC (syarikat tersenarai awam) kepada 450 PLC, mewakili kira-kira satu bagi setiap dua PLC yang disenaraikan di Bursa Malaysia,” katanya.

 

Mohd Nasir berkata badan MSWG merakamkan penghargaan kepada Devanesan atas sumbangannya kepada pertubuhan itu. - DagangNews.com