DHL Express pindahkan Pusat Khidmat Prai ke pusat kemudahan baharu bernilai RM13 juta | DagangNews Skip to main content

DHL Express pindahkan Pusat Khidmat Prai ke pusat kemudahan baharu bernilai RM13 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mei - Penyedia logistik terkemuka dunia, DHL Express memindahkan Pusat Khidmat Prai ke pusat kemudahan yang lebih besar bernilai RM13 juta di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang berikutan peningkatan permintaan penghantaran antarabangsa daripada peniaga di negeri-negeri utara Semenanjung. 

 

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata, pusat khidmat baharu itu akan meningkatkan kapasiti pemprosesan penghantaran sebanyak 170% yang membolehkan transit lebih pantas dan seterusnya meningkatkan tahap perkhidmatan untuk pelanggan di tanah besar Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.

 

“Pusat khidmat baharu ini merangkumi ruang gudang dan pejabat seluas 2,386 meter persegi iaitu lima kali ganda lebih besar daripada saiz lokasi sebelumnya dan ia adalah respons terhadap peningkatan permintaan untuk perkhidmatan penghantaran antarabangsa daripada peniaga di wilayah utara.

 

"Selaras dengan komitmen Deutsche Post DHL Group untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050, fasiliti ini dilengkapi dengan sistem panel solar dan infrastruktur cekap tenaga yang dijangka akan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 26.9%," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Majlis perasmian pusat kemudahan itu disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

 

Julian berkata, pusat khidmat baharu itu akan mengendalikan penghantaran domestik dan antarabangsa ke 220 negara dan wilayah di bawah liputan DHL Express. 

 

dhl

 

Beliau berkata, pusat kemudaha tersebut juga menyediakan kemudahan Service Point bagi pelanggan untuk mengumpul dan menurunkan bungkusan.

 

"Sebagai fasilitator utama dalam rantaian bekalan global, DHL Express membantu perniagaan tempatan merealisasikan potensi pertumbuhan mereka melalui menebusi pasaran eksport.

 

dhl


 

"Pusat Khidmat Prai yang baharu ini, pelanggan kami berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan percambahan sektor e-dagang B2B dan B2C," katanya.

 

Pada Mei 2021, DHL Express telah memperkenalkan laluan terus Hong Kong-Pulau Pinang yang menghubungkan hab mereka di Hong Kong ke Penang Gateway lima kali seminggu. 

 

Sebuah pesawat Airbus A300 dengan ruang kargo 54 tan ditetapkan khususnya bagi Pulau Pinang di mana komponen dan alat ganti elektronik merupakan sebahagian besar daripada eksportnya. 

 

Penerbangan khusus ini bukan sahaja akan menambah kapasiti tetapi juga akan memendekkan masa transit pergi-balik dari bandar-bandar berkenaan. - DagangNews.com