Di manakah noktah krisis kemanusiaan Palestin? | DagangNews Skip to main content

Di manakah noktah krisis kemanusiaan Palestin?

Sukarelawan Malaysian Relief Agency menyampaikan bantuan makanan kepada seorang penduduk Palestin yang kini berdepan serangan rejim Zionis. - Gambar Malaysian Relief Agency
Oleh Mohd Lutfi Hafifi Japili, Koordinator Malaysian Relief Agency (MRA) di Gaziantep, Turkiye

HARI ini merupakan hari ke-12 serangan berterusan dilakukan ke arah Gaza, Palestin yang telah menjadikan kawasan itu terus lumpuh dan terkesan.

 

Serangan udara dari Rejim Zionis Israel secara besar-besaran terhadap Gaza telah meragut nyawa sebanyak 2,778 orang rakyat Palestin termasuk lebih 1,000 kanak-kanak dan wanita menurut Kementerian kesihatan Gaza sehingga hari ini.

 

Sementara itu, seramai 9,938 orang dilaporkan cedera dengan jumlah kanak-kanak dan wanita yang membentuk signifikan dari statistik tersebut.

 

 

MRA

 

 

Serangan ini adalah reaksi tentera Israel berikutan serangan oleh kumpulan pejuang Hamas melalui operasi Taufan Al-Aqsa terhadap kawasan haram Israel dan sekali lagi membuktikan betapa kompleks dan tragisnya situasi konflik tersebut dengan impak yang amat mendalam terhadap Gaza yang terkepung sejak berdekad lamanya.

 

Setiap hari media menghidangkan naratif dan kronologi sejarah perjuangan Palestin yang begitu sukar sejak tertubuhnya negara haram Israel pada tahun 1947 melalui yang perjanjian Balfour yang akhirnya menjadikan perjuangan pembebasan Palestin tidak pernah selesai sehingga hari ini.

 

Kemelut ini tidak hanya membentuk konflik politik semata-mata namun ianya mengheret kepada situasi kemanusiaan yang memburuk sehinggakan ribuan nyawa terkorban.

 

Bayangkan dalam tempoh 15 tahun sejak 2008 sehingga kini jumlah kematian penduduk Palestin yang terkesan dengan krisis ini sudah mencapai angka 8,400 orang dan jumlah kecedaraan yang melibatkan ratusan ribu kes menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UN OCHA).

 

Malah sejak 7 Oktober yang lalu, dua juta penduduk Gaza menghadapi ancaman kekurangan air akibat sekatan bekalan kemanusiaan.

 

Agensi PBB bagi pelarian Palestin, UNRWA, menegaskan bahawa situasi ini telah mencapai tahap kritikal yang melibatkan nyawa dan mendesak penghantaran bantuan segera untuk bantuan kemanusiaan utama kepada mangsa keganasan Zionis.

 

Sekatan terhadap bantuan kemanusiaan selama seminggu ini dilihat semakin meruncing keadaan di wilayah Gaza bakal memburukkan keadaan yang sudah pun terancam dengan kemiskinan, konflik, dan ketidakstabilan.

 

Lebih memburukkan keadaan apabila hampir 1 juta penduduk di Utara Gaza terpaksa berpindah ke kawasan baru dan situasi ini bakal mencetuskan krisis besar apabila bilangan pelarian dalam negara ataupun Internally Displace Person (IDPs) bertambah dan kawasan perlindungan tidak lagi mampu menampung keperluan mereka yang baru sahaja tiba di kawasan selatan Gaza yang juga berisiko tinggi.

 

 

parafrasa
SUKARELAWAN MRA meninjau kawasan yang teruk dibedil Zionis di Gaza, Palestin. - Gambar MRA

 

 

USAHA DAN PERANAN MASYARAKAT ANTARABANGSA

Antara usaha awal bantuan kemanusiaan bagi bantuan kemanusiaan telahpun dilancarkan oleh Kerajaan Türkiye kelmarin ditengah-tengah krisis ini meruncing, Türkiye telah memainkan peranan menghantar bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan bahan-bahan kesihatan, kepada penduduk Gaza melalui usaha bersama yang melibatkan penghantaran melalui kapal terbang ke Mesir dan seterusnya dengan trak ke pintu masuk sempadan Rafah.

 

Koordinasi dengan Mesir untuk misi kemanusiaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) dan Agensi Bulan Sabit Merah Türkiye. Objektif awal adalah memastikan bekalan penting, termasuk makanan dan ubat-ubatan kesihatan dihantar ke Gaza melalui pintu gerbang sempadan Rafah dengan segera.

 

Penghantaran bantuan kemanusiaan ini dilihat sebagai satu tindakan solidariti awal masyarakat dunia dan pastinya akan digerakkan dengan lebih cepat dan semuanya bergantung kepada bagaimana usaha pemimpin dunia memainkan peranan untuk menggesa serangan diberhentikan dengan segera.

 

Semoga bantuan kemanusiaan ke Gaza akan berterusan dan disokong warga dunia yang mencintakan keamanan.

 

GEOPOLITIK ISRAEL - ARAB DAN PANDANGAN DUNIA LUAR

Sebenarnya agak kompleks untuk meneka keadaan geopolitik dari krisis berpanjangan ini.

 

Bagi negara yang dilihat Pro-Israel terutamanya pihak Amerika Syarikat, pendekatan utama mereka dilihat buat masa ini hanyalah tertumpu kepada bantuan ketenteraan kerana jelas hubungan Amerika - Israel sudah lama berpaut rapat sejak penubuhan Israel 1947. Polisi ekonomi dan sumbangan ketenteraan Amerika Syarikat kepada Israel tidak perlu dijelaskan lagi.

 

 

parafrasa

 

 

Namun pada asasnya ada dua perkara yang dilihat memainkan peranan dalam pergolakan dan krisis dua entiti ini sejak penubuhan Israel 1947.

 

Pertama, lebih banyak pertempuran dan perlumbaan senjata antara negara-negara Arab dan Israel untuk mengawal politik, tentera, dan ekonomi di Timur Tengah.

 

Penubuhan Israel tidak pernah menjanjikan perdamaian, setahun selepas penubuhan berlaku peperangan antara Israel, Mesir dan Jordan pada tahun 1948.

 

Israel juga menentang Mesir, Jordan, dan Syria, dalam "Perang Enam Hari" pada tahun 1967 dan penentangan Mesir dan Syria dalam serangan mereka ke atas Israel pada Perang Yom Kippur pada tahun 1973.

 

Siri peperangan awal menjadi batu asas kepada ketegangan sehingga hari ini. Sesuatu perkara yang bermula dengan keganasan, mustahil untuk diakhiri dengan perdamaian.

 

Kedua,  Amerika Syarikat dan Israel menjadi sangat rapat kerana Amerika melihat Israel sebagai rakan yang membantu untuk melambatkan dan menghentikan tindakan oleh negara-negara Arab di rantau tersebut, terutamanya mengenai minyak.

 

Di sini peranan Amerika Syarikat dalam percaturan politik dunia Arab dilihat sangat berkesan sehinggakan beberapa siri perjanjian damai seperti Perjanjian Oslo pada tahun 1993 disepakati walaupun dirobek berkali-kali perjanjian itu atas nama konflik.

 

Paling mengejutkan apabila Perjanjian Abraham pada tahun 2020 yang membawa kepada ‘normalisasi’ hubungan diplomatik Israel dan dunia luar berlaku dan ditandatangani oleh negara Teluk seperti UAE dan Bahrain.

 

Banyak usaha dimainkan oleh dunia luar termasuk Malaysia yang sentiasa komited menyokong kebersamaan dengan Palestin sebagai sebuah negara yang berdaulat.

 

 

parafrasa

 

 

Baru-baru ini Presiden negara Turkiye, Recep Tayyip Erdoğa juga menekankan pentingnya pendekatan dua negara sebagai penyelesaian. Menurut beliau Satu negara Palestin yang merdeka dengan sempadan sebelum tahun 1967 dan Al-Quds sebagai ibu negara adalah suatu keperluan yang mendesak.

 

Walaupun demikian, saban hari kita menyaksikan percubaan untuk memecah belah Palestin dan gangguan terhadap masjid al-Aqsa.

 

Teringat kata-kata bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela pada tahun 1997 sempena perhimpunan hari solidariti antarabangsa : “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil pendirian yang teguh menentang apartheid dan sepanjang tahun, konsensus antarabangsa dibina  membantu untuk mengakhiri sistem yang tidak adil ini,  tetapi kita terlalu tahu bahawa kebebasan kita adalah tidak lengkap tanpa kebebasan rakyat Palestin.”

 

Melihat kepada situasi ini, apakah kita dapat meneka bagaimana nantinya noktah dalam konflik kemanusiaan ini? -DagangNews.com