Di sebalik prospek pasaran gas serantau yang mencabar, MIDF Research kekal 'beli' saham MHB | DagangNews Skip to main content

Di sebalik prospek pasaran gas serantau yang mencabar, MIDF Research kekal 'beli' saham MHB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Okt - Kontrak yang diperoleh Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd. (MHB) daripada Sarawak Shell Bhd. (SSB) menandakan pemulihan dalam subsektor huluan setelah terjejas akibat pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonomi di seluruh negara. 

 

Menurut MIDF Research, kumpulan bagaimanapun berhati-hati terhadap kedudukan kewangannya dan akan terus meninjau prospek bagi pembangunan baharu dalam industri penerokaan dan pengeluaran (E&P). 

 

Firma itu juga percaya, perolehan kontrak itu bukan sahaja membuktikan keupayaan dan kapasiti MHB untuk membina platform luar pesisir bagi projek gas Rosmari-Marjoram, di luar pantai Sarawak tetapi kekuatan kerjasama kumpulan yang berpanjangan dengan SSB. 

 

Katanya, projek itu sebaik sahaja memulakan proses penapisan pada 2026 dijangka menyumbang kira-kira 10% daripada unjuran pengeluaran gas asli Malaysia sebanyak kira-kira 8.1 bilion standard meter padu sehari (bscfpd). 

 

"Namun, kami dapati di sebalik prospek positif medan Rosmari-Marjoram, terdapat cabaran utama antaranya, penggunaan kompleks penapisan gas asli cecair (LNG) di Bintulu yang masih di bawah paras 90% dan proses penapisan gas yang sukar dan memakan masa, boleh menyebabkan kekurangan bahan mentah dan kesan negatif alam sekitar terhadap pelupusan bahan cemar H2S. 

 

"Selain itu, kenaikan cukai jualan ke atas produk petroleum menghalang projek pembangunan ekonomi pada masa depan dalam bidang ini.

 

"Kami percaya kemudahan penyingkiran gas asid yang canggih dan dinaik taraf boleh mengurangkan masalah bekalan bahan mentah dan isu alam sekitar, yang juga boleh membuka lebih banyak sumber gas di luar pesisir Sarawak, justeru, lebih banyak permintaan untuk platform pengeluaran dalam masa terdekat," katanya dalam nota kajian hari ini.

 


Baca : MHB raih kontrak bina platform luar pesisir daripada Sarawak Shell

 

Semalam, MHB menerusi anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE) memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) daripada SSB bagi membina platform luar pesisir bagi projek gas Rosmari-Marjoram, di luar pantai Sarawak.

 

Pembinaan platform itu yang terdiri daripada bahagian atas, 'jacket' empat kaki dan cerucuk membabitkan kos kurang daripada RM500 juta.

 

Apabila pelantar itu siap yang dijangka mengambil masa selama 19 bulan, ia akan dipasang pada kedalaman air 140 meter di sekitar kawasan SK318, di luar pantai Bintulu.

 

Platform tanpa pemandu ini akan dikuasakan terutamanya oleh tenaga boleh diperbaharui di mana ia akan menggunakan kuasa daripada panel solar.

 

Dengan mengambil kira projek itu yang akan siap sehingga 2025 dan ketidaktentuan pasaran gas serantau, MIDF Research tidak membuat sebarang perubahan kepada unjurannya.

 

Sebaliknya, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap MHB dengan harga sasaran tidak berubah pada 54 sen. 

 

Ia berpendapat MHB akan terus mendapat manfaat daripada permulaan semula projek E&P yang tertangguh dan tergendala serta projek baharu selepas mengalami masalah kekurangan buruh dan gangguan rantaian bekalan akibat penularan COVID-19.

 

"Permintaan untuk 'jacket' platform yang bersih dan mampan dijangka berkembang sejajar dengan aspirasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam sektor minyak dan gas," katanya.

 

Setakat 10.30 pagi ini, harga sahamnya tidak berubah pada 39.5 sen dengan 25,500 saham diniagakan. -DagangNews.com