Dijangka hilang RM300 juta lanjut PKP, hotel perlu bantuan segera | DagangNews Skip to main content

Dijangka hilang RM300 juta lanjut PKP, hotel perlu bantuan segera

Industri hotel

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Industri perhotelan negara terpaksa bertarung nyawa untuk meneruskan operasi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak awal Januari 2021.

 

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Datuk N. Subramaniam berkata, pendapatan industri tersebut dianggar hilang sebanyak RM300 juta untuk setiap dua minggu PKP.

 

"Pelaksanaan PKP 2.0 dilihat merampas harapan pemulihan industri perhotelan untuk kembali pulih pada tahun ini dan industri dijangka hilang RM300 juta untuk setiap dua minggu PKP selepas hilang kira-kira RM6.5 bilion pada tahun lalu.

 

"Bantuan segera amat diperlukan untuk memastikan hotel dapat bertahan, dan MAH juga telah mengemukakan 19 cadangan bantuan segera industri hotel kepada kerajaan dalam mesyuarat tergempar bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) semalam," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

N. Subramaniam
N. Subramaniam 

 

Sejak PKP 2.0 diumumkan awal Januari lepas berserta peningkatan kes COVID-19, lebih banyak hotel dilaporkan terpaksa ditutup dan dalam perancangan untuk ditutup.

 

Lebih 100 hotel dianggarkan telah menghentikan operasi sejak Mac 2020 sekali gus memberi kesan kepada lebih 7,000 pekerja.

 

Baru-baru ini juga, tular video seorang Pengurus Hotel yang terpaksa menjual makanan hotel di pinggir jalan demi menampung perbelanjaan dan gaji pekerja.

 

Tambah beliau, sebelum PKP dilanjutkan hingga 18 Februari 2021, MAH sejak awal 2020 telah mengadakan pertemuan bersama MOTAC bagi membincangkan keperluan jangka pendek dan jangka panjang.

 

"Industri pelancongan dan hotel mempunyai 3.6 juta pekerja dan merupakan salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara dan rakyat.

 

"Industri ini tidak boleh dibiarkan runtuh. Kita mesti bersedia untuk proses pemulihan dan mengekalkan keupayaan pelancongan serta daya saing di rantau ini," katanya lagi.

 

MAH turut mencadangkan agar kerajaan meletakkan pekerja sektor pelancongan dan hotel dalam senarai utama program imunisasi.

 

Usaha tersebut adalah sebagai persediaan dan memberi keyakinan kepada dunia bahawa Malaysia telah bersedia untuk menerima pelancongan antarabangsa setelah sempadan dibuka. - DagangNews.com