Diskaun saman trafik 50% bermula Jumaat - PDRM | DagangNews Skip to main content

Diskaun saman trafik 50% bermula Jumaat - PDRM

Orang awam boleh membuat bayaran saman itu menerusi portal rasmi PDRM dan aplikasi MyBayar Saman. - Gambar MalayMail

 

 

KUALA LUMPUR 17 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun kompaun saman trafik sebanyak 50 peratus bermula esok hingga 18 Julai ini.

 

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, tawaran itu tidak termasuk bagi kes saman dalam sebutan mahkamah, kesalahan-kesalahan utama dilakukan dalam tahun ini, kesalahan kenderaan berat serta pengubahsuaian ekzos.

 

Beliau berkata, orang awam boleh membuat bayaran saman itu menerusi portal rasmi PDRM dan aplikasi MyBayar Saman.

 

“Tawaran diskaun itu sebagai usaha menyokong hasrat kerajaan ke arah memberikan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai semasa situasi wabak COVID-19.

 

"Sepanjang tempoh kempen ini, semua kaunter pembayaran saman di kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah akan ditutup bagi mengurangkan penularan jangkitan COVID-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0,” katanya menerusi kenyataan hari ini seperti dilapor Bernama.

 

Azisman berkata, aplikasi MyBayar Saman yang diperkenal PDRM juga telah dipertingkat bagi membolehkan syarikat dan entiti perniagaan mendaftar sebagai pengguna dan seterusnya membuat pembayaran melalui aplikasi itu. - DagangNews.com