Disney+ peluang Astro ‘kuasai’ lebih banyak platform serupa  | DagangNews Skip to main content

Disney+ peluang Astro ‘kuasai’ lebih banyak platform serupa 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Pelancaran Disney+ Hotstar dengan kerjasama Astro Malaysia Holdings bakal membuka peluang untuk syarikat televisyen itu ‘menguasai’ lebih banyak platform yang serupa. 

 

Ini tidak mustahil lebih banyak kerjasama dijangka muncul dalam tempoh suku tahun akan datang sekali gus mengangkat Astro sebagai agregator platform penstriman, menurut penganalisis di Citi Research, Hussaini Saifee.

 

Jelas Hussaini, inisiaitif tersebut merupakan langkah positif buat Astro untuk mewujudkan model perniagaan yang mampan, walaupun mendatangkan margin lebih rendah berbanding perniagaan televisyen tradisional kumpulan yang kian merosot itu.

 

“Disney+ menyertai iQiyi dan HBO Go sebagai perkongsian kandungan menarik lain dengan kerjasama Astro. Kami juga melihat Astro meraih keuntungan daripada filem-filem yang ditayangkan di platformnya memandangkan pawagam masih lagi ditutup. 

 

“Dalam pada itu, kumpulan kekal mendahului kandungan tempatan atau bahasa. 

 

“Tambahan lagi, peluang penggabungan jalur lebar di bawah peraturan MSAP bermaksud Astro dapat merancang penawaran ‘memilih’ yang menarik untuk pelanggan di bawah satu sistem bil,” jelas Hussaini dalam satu nota kajian. 

 

Disney+ Hotstar dilancarkan di Malaysia pada 1 Jun lalu yang ditawarkan dalam bentuk perkhidmatan kendiri seperti Netflix. 

 

Kos perkhidmatan tersebut bernilai RM18 setiap bulan, tetapi Astro juga menawarkannya pada harga RM5 setiap bulan sebagai tambahan untuk pelanggan ‘movie pack’ televisyen tersebut.

 

“Walaupun kami tidak mengetahui mekanisme penetapan harga antara Astro dan Disney, kami menjangkakan kos pada harga lebih tinggi iaitu RM5, menjadikan perkhidmatan tersebut berkemungkinan sebagai kerugian utama buat Astro. 

 

“Walau bagaimanapun, kami melihat faedah utamanya adalah mengurangkan kadar pengguna yang menghentikan perkhidmatannya, susulan diskaun menyeluruh yang menarik,” tambah penganalisis itu lagi.

 

Hussaini melihat Astro berada dalam kedudukan baik untuk ‘memegang’ kerjasama dalam menawarkan perkhidmatan sedemikian kepada pelanggan. 

 

Ujar beliau, Telekom Malaysia Berhad (TM) yang mempunyai landskap serupa juga boleh menawarkan perkhidmatan sama. 

 

Citi menyarankan untuk ‘beli’ saham Astro dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM1.30. - DagangNews.com