PUTRAJAYA 6 Mac - Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera bagi tahun 2021 adalah sebanyak 4.1%, kadar tertinggi sejak 2018, umum Perdana Menteri hari ini.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi tahun kewangan 2021, LTAT mencatatkan peningkatan pendapatan kasar sebanyak 50.2% kepada RM512.3 juta berbanding RM341.1 juta yang dicatatkan pada tahun 2020.
''Semoga Kementerian Pertahanan di bawah pimpinan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, ATM, LTAT dan semua stakeholders kekal bekerjasama demi kepentingan, kebajikan dan kesejahteraan anggota veteran ATM serta ahli keluarga mereka,'' kata Perdana Menteri.
"Waktu Pakatan Harapan (PH) dulu dividen rendah, sekarang tinggi semula di bawah kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
"Insya-Allah dengan kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin, tahun depan akan lebih tinggi lagi dividen," katanya ketika berucap merasmikan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Kem Segamat, di sini.
Sementara itu, LTAT dalam kenyataannya berkata, bagi tahun kewangan 2021, LTAT telah mencatatkan peningkatan pendapatan kasar sebanyak 50.2% kepada RM512.3 juta berbanding RM341.1 juta yang dicatatkan pada tahun 2020.
Peningkatan pendapatan kasar untuk tahun 2021 telah menyumbang kepada pertumbuhan berganda bagi pendapatan bersih sebanyak 182.2% kepada RM381.1 juta berbanding RM135.0 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Pada masa yang sama, Keuntungan Tertahan LTAT bagi tahun 2021 telah meningkat kepada RM672.6 juta berbanding RM193.2 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Pengerusi LTAT, Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, LTAT komited untuk memastikan supaya nilai simpanan pencarum dari kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah mampan, terjamin dan selamat.
''Komitmen ini selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk memastikan kebajikan anggota ATM yang telah banyak berkorban dan mengabdikan diri demi keselamatan dan kedaulatan negara.”
Menurutnya, Pelan Transformasi strategik lima tahun LTAT (2019 – 2023) merupakan satu usaha untuk menjadikan LTAT sebagai dana simpanan persaraan yang mampu mengisytiharkan dividen yang mampan kepada ahlinya.
Salah satu inisiatif penting yang dikenal pasti adalah melibatkan pindaan kepada Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta TAT 101) yang juga merupakan salah daripada pemangkin utama kepada keberkesanan dan keberjayaan perjalanan transformasi ini.
Fokus utama Pelan Transformasi LTAT juga adalah terhadap pelaksanaan pelan pemulihan pelaburan berpandukan Kerangka Perumpukan Aset Strategik (SAA). Pengimbangan semula aset pelaburan LTAT ke arah julat yang ditetapkan oleh Perumpukan Aset Strategik dapat:
• Mengurangkan risiko ketidakupayaan LTAT untuk mengisytiharkan dividen pada paras yang kompetitif (sekurang-kurangnya pada kadar simpanan tetap + 1.25%) dalam sesuatu tahun;
• Memulihkan daya tahan aset pelaburan LTAT dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran modal dan ekonomi; dan
• Mengurangkan risiko tahap kesolvenan aset pelaburan LTAT jatuh di bawah paras yang dilihat bersesuaian dengan portfolio pelaburan dana persaraan yang bersifat jangka panjang.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi Tahniah dan Syabas kepada barisan kepimpinan LTAT yang diterajui Ketua Eksekutif, Dato’ Nazim Rahman atas pencapaian ini.
''Jika diamati Pelan Transformasi LTAT bukan sahaja berada pada landasan yang baik, tetapi ia dilaksanakan oleh satu pasukan yang dinamik dan bersungguh-sungguh dalam meningkatkan prestasi pulangan pelaburan selaras dengan visi LTAT untuk menjamin simpanan serta kepentingan pencarum terus dijaga. Penghargaan yang sama juga kepada Ahli Lembaga LTAT di atas bimbangan dan kebijaksanaan,” tambah beliau.
Pengkreditan Dividen 2021 akan dilaksanakan pada hari Isnin, 7 Mac 2022. Pencarum boleh mendapat maklumat terkini melalui aplikasi mudah alih MyWira atau menerusi laman web LTAT di www.ltat.org.my. Aplikasi MyWira ini boleh dimuat turun dari Google Play Store atau Apple App Store. - DagangNews.com