DKSH buka pusat pengedaran baharu di Kuching, tingkatkan keupayaan operasi di Malaysia Timur | DagangNews Skip to main content

DKSH buka pusat pengedaran baharu di Kuching, tingkatkan keupayaan operasi di Malaysia Timur

Majlis pelancaran pusat pengedaran baharu DKSH Malaysia di Kuching, hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Julai - DKSH Malaysia mengumumkan pelancaran pusat pengedarannya yang baharu di Kuching, meningkatkan kedudukannya untuk menyokong pembangunan rantaian bekalan barangan pengguna dan penjagaan kesihatan Malaysia Timur.

 

Menjangkau 105,000 kaki persegi dengan kapasiti lebih 10,000 palet, kemudahan yang lebih besar dan lebih maju menandakan peningkatan ketara keupayaan DKSH di Sarawak dan Sabah.

 

Pusat pengedaran itu terdiri daripada dua kemudahan utama, satu khusus untuk unit perniagaan barangan pengguna DKSH dan satu lagi untuk unit perniagaan penjagaan kesihatan.

 

Pusat pengedaran unit perniagaan kesihatan adalah fasiliti yang diluluskan oleh Agensi Kawal Selia Farmasi Kebangsaan (NPRA), mematuhi Standard Amalan Pengedaran Baik (GDP) dan Amalan Pengedaran Baik untuk Peranti Perubatan (GDPMD).

 

Direka untuk produk farmaseutikal, produk ubat di kaunter dan peranti perubatan, fasiliti ini mempunyai kapasiti 1,800 palet, memastikan kapasiti penyimpanan yang mencukupi.

 

Untuk memastikan standard kualiti dan keselamatan yang tertinggi, pusat pengedaran baru ini mengintegrasikan teknologi pengurusan gudang yang terkini dan amalan mampan yang menekankan komitmen DKSH untuk meningkatkan infrastruktur rantaian bekalan dan logistik Malaysia Timur.

 

Dilengkapi dengan teknologi digital yang canggih, fasiliti ini mempunyai sistem pemantauan dan penggera alam sekitar yang cekap, pengurusan kawalan serangga yang berkesan, langkah-langkah keselamatan yang ketat dan sistem perlindungan kebakaran yang komprehensif.

 

Ketua Pengurusan Negara dan Naib Presiden, Kesihatan DKSH Malaysia, Sandeep Tewari  berkata, pihaknya sangat gembira untuk memperkenalkan pusat pengedaran yang ditingkatkan kami di Kuching.

 

"Dengan mengintegrasikan penyelesaian digital yang canggih, dilengkapi dengan proses yang dimodenkan untuk keperluan kesihatan, dan standard kualiti yang tertinggi, kami menyasarkan untuk memberikan nilai yang luar biasa dan perkhidmatan yang unggul kepada pelanggan dan pengguna kami, sambil meningkatkan aksesibiliti produk di seluruh Malaysia Timur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Daniel Schwalb, Naib Presiden FMCG di DKSH Malaysia, menyatakan,pusat pengedaran ini menjadi bukti kepada visi jangka panjang untuk mendorong sektor FMCG di Malaysia Timur ke hadapan. 

 

"Kami bersemangat mengenai masa depan dan peluang yang membawa kepada inovasi dan pertumbuhan,” katanya.

 

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, pusat pengedaran baru DKSH yang dipindahkan ke Kuching menandakan satu saat penting bagi Sarawak dan seluruh Malaysia Timur. 

 

"Komitmen DKSH untuk meningkatkan rangkaian pengedaran di sini adalah bukti kesetiaan mereka kepada komuniti kami dan keyakinan mereka terhadap potensi kami,” ujarnya. - DagangNews.com