DKSH, Simplot Malaysia bekerjasama kembangkan rangkaian produk kentang beku | DagangNews Skip to main content

DKSH, Simplot Malaysia bekerjasama kembangkan rangkaian produk kentang beku

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept - DKSH jalin kerjasama dengan syarikat makanan dan minuman (F&B), Simplot Malaysia Sdn Bhd bagi memacu pertumbuhan dan pengembangan rangkaian produk kentang beku dalam industri perkhidmatan makanan Malaysia.

 

Kerjasama itu juga menyasar untuk mengembangkan rangkaian produk kentang beku yang dihasilkan oleh Simplot India di pasaran Malaysia dan menawarkan pilihan snek kentang berkualiti tinggi kepada pengguna. 

 

Di bawah perjanjian itu, DKSH Malaysia akan menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran komprehensif, termasuk pemasaran dan jualan, pengedaran dan logistik, serta kredit dan kutipan merentasi pelbagai saluran seperti hotel, restoran, kafe dan outlet perkhidmatan makanan yang lain. 

 

Selain itu, DKSH akan mengedarkan rangkaian produk kentang beku Simplot India bagi memuaskan hati penggemar kuliner dan pakar perkhidmatan makanan. 

 

Pengurus Negara di Simplot Malaysia, KK Saw berkata DKSH adalah rakan kongsi yang tepat dalam menubuhkan, mempromosikan dan mengembangkan produk syarikat dengan berkesan di pasaran Malaysia.

 

“Menerusi kerjasama ini, ia akan membuka pasaran yang lebih luas untuk produk kami, menjadikannya lebih mudah diakses dan lebih dekat dengan pengguna yang kami ingin capai. 

 

“Kami yakin dengan kehadiran DKSH bersama rangkaian pengedarannya yang luas dan pasukan jualannya yang berpengalaman akan menguatkan lagi kehadiran komersial jenama kami dan pertumbuhan berterusan di pasaran ini,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini. 

 

Naib Presiden Barangan Pengguna Bergerak Pantas DKSH Malaysia, Daniel Schwalb turut berkata, perkongsian itu mencapai objektif bersama untuk menetapkan penanda aras baharu, memastikan pengguna Malaysia menikmati pelbagai pilihan kentang goreng.- DagangNews.com