DNeX lancar SealNet mudahkan pendigitalan perdagangan | DagangNews Skip to main content

DNeX lancar SealNet mudahkan pendigitalan perdagangan

 

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) melancarkan SealNet, platform digital sehenti yang menyediakan perkhidmatan logistik dan rentas sempadan berasaskan awan untuk memudahkan proses perdagangan.

 

Dengan menyasarkan para pengimport, pengeksport, pengeluar dan perniagaan berasaskan perdagangan, SealNet memperkasa pelanggan dengan platformnya yang mudah digunakan dan diakses bila-bila masa.

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, platform logistik dan perdagangan secara digital itu mampu membantu menangani cabaran ketika pandemik COVID-19. 

 

Katanya, SealNet dapat membantu mengatasi kelemahan yang menyumbang kepada kos yang tidak perlu dalam dalam industri.

 

"Kami mahu meletakkan SealNet sebagai penyambung perdagangan global yang akan memberi kemudahan bukan sahaja di rantau ini tetapi bagi perdagangan global," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

SealNet merangkumi rangkaian produk dan perkhidmatan yang boleh membawa kepada keterhubungan dan mengurangkan pengumpulan data an aliran maklumat secara berlebihan merentasi rantaian bekalan.

 

Semua permohonan dan penyerahan yang dikemukakan sama ada di dalam mahupun luar negara, akan dibuat melalui SealNet.

 

Platform ini juga menawarkan keupayaan integrasi untuk menangani pelbagai struktur dan keperluan, menyediakan komunikasi dalam masa nyata dengan fleksibiliti, kawalan dan jelas.

 

Syed Zainal Abidin berkata, SealNet dibangunkan untuk menghubungkan dan mendigitalkan komponen merentasi rantaian global dan logistik untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan dan mekanisme perdagangan. 

 

Selain itu, katanya, ia juga menambah baik produktiviti pedagang dan industri logistik serta menyediakan sistem elektronik yang lebih baik kepada logistik dan perdagangan rentas sempadan.

 

"Semua peringkat pelanggan sama ada kecil dan besar boleh mempunyai akses yang terjamin dan mudah kepada platform digital SealNet pada bila-bila masa dan di mana jua serta menikmati penjimatan kos," katanya. - DagangNews.com