DNeX menerusi Ping Petroleum ambil alih penghantaran FPSO untuk Pembangunan Avalon | DagangNews Skip to main content

DNeX menerusi Ping Petroleum ambil alih penghantaran FPSO untuk Pembangunan Avalon

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) menerusi anak syarikatnya, Ping Petroleum UK PLC (Ping) telah mengambil alih penghantaran kontrak kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FSPO) Sevan Hummingbird daripada syarikat pengangkutan tenaga marin, Teekay Cororation.

 

Pemerolehan FPSO adalah peristiwa penting dalam Projek Pembangunan Avalon Laut Utara Tengah selepas menerima surat "tiada bantahan" daripada Pihak Berkuasa Peralihan Laut Utara (NSTA) pada Mac 2022 bagi meneruskan rancangan pembangunannya.

 

Ping baru-baru ini telah menerima lanjutan 19 bulan oleh NSTA bagi penggal kedua Lesen P2006 mengandungi Avalon bagi memberikan syarikat masa tambahan untuk mengoptimumkan dan mendapat kelulusan kawal selia penuh bagi Pelan Pembangunan Lapangan Avalon.

 

Konsep pembangunan yang dicadangkan termasuk penggunaan FPSO Sevan Hummingbird di medan Avalon yang akan diubah suai untuk memudahkan perubahan daripada sumber karbon rendah luaran.

 

Syarikat juga sedang menilai pilihan untuk menyambungkan FPSO kepada turbin angin luar pesisir bagi menggerakkan kemudahan itu, selain meminimumkan penggunaan diesel dan pengeluaran gas rumah hijau.

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pemerolehan FPSO Sevan Hummingbird adalah penting untuk medan minyak Avalon dan kumpulan itu menjangkakan penggunaan operasi penuh kemudahan di Avalon menjelang 2025.

 

dnex
Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 

"Kami mempunyai aset sedia ada dengan Sevan Hummingbird yang baru diperoleh. 

 

"Langkah kami seterusnya adalah untuk mendapatkan kelulusan untuk Pelan Pembangunan Lapangan kami, yang akan dikemukakan dalam beberapa bulan akan datang," katanya.

 

FSPO Sevan Hummingbird yang pertama kali ditauliahkan pada 2008, merupakan kemudahan berdiameter 60 meter yang mempunyai kapasiti penyimpanan sebanyak 270,000 tong minyak dan mampu menghasilkan sehingga 30,000 tong minyak sehari yang mampu menyokong sehingga 47 kakitangan luar pesisir.

 

Dengan jumlah anggaran pemulihan muktamad (EUR) sebanyak 23 juta tong rizab minyak dalam tempoh 12 tahun, pengeluaran minyak daripada aset medan minyak kedua Ping dijangka mula beroperasi pada 2025. - DagangNews.com