D’nonce catat keuntungan tertinggi dalam sejarah kumpulan, RM13.8 juta | DagangNews Skip to main content

D’nonce catat keuntungan tertinggi dalam sejarah kumpulan, RM13.8 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Jun - Syarikat penyedia penyelesaian kejuruteraan, D’nonce Technology Berhad berjaya mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) tertinggi dalam sejarah kumpulan berjumlah RM13.8 juta bagi tahun kewangan 2021 (FY21). 

 

Ini terutamanya disumbangkan oleh lonjakan permintaan dalam bekalan pembungkusan untuk sektor penjagaan kesihatan, peningkatan pesanan dari pelanggan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) selain langkah menyeimbangkan kos yang berkesan.

 

Bagi tempoh sama, kumpulan merekodkan hasil bernilai RM182.9 juta, di mana sektor (E&E) menjadi penyumbang utama, merangkumi RM96.0 juta atau 52.4% daripada pendapatan kumpulan, diikuti oleh sektor penjagaan kesihatan pada kadar RM61.0 juta atau 33.4%.

 

Berdasarkan prestasi bagi suku tahun keempat yang berakhir 30 April lalu (4QFY21), D’nonce mencatatkan PAT berjumlah RM2.8 juta dipacu oleh hasil dan keberuntungan yang konsisten dari suku tahun sebelumnya. 

 

Sebagai rekod, tahun kewangan kumpulan telah diubah dari 31 Disember kepada 30 April. 

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif D’nonce, Datuk Tho Yow Yin berkata, ini merupakan kali pertama kumpulan mencatatkan PAT melebihi paras RM10 juta.

 

Tho Yow Yin
Tho Yow Yin

 

“Kami juga gembira apabila menjadi salah satu syarikat di Malaysia yang mencapai pertumbuhan hasil kukuh semasa tahun yang sukar ini. Ini merupakan bukti kepada kejayaan pelaksanaan strategi perniagaan oleh pasukan pengurusan baharu yang mengambil alih sejak Julai 2019. 

 

“Pada masa hadapan, kami akan terus memanfaatkan pertumbuhan sektor E&E dan penjagaan kesihatan,” tambah beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dari segi kunci kira-kira, kumpulan memegang kedudukan tunai kasar setakat penghujung 2021 berjumlah RM40.8 juta dengan aset bersih pada kadar 47 sen sesaham. - DagangNews.com