DoctorOnCall, Pfizer & UOB Malaysia lancar program ASK4VACCINE | DagangNews Skip to main content

DoctorOnCall, Pfizer & UOB Malaysia lancar program ASK4VACCINE

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Platform kesihatan digital di Malaysia, DoctorOnCall membentuk kerjasama tiga pihak dengan Pfizer dan UOB Malaysia bagi melancarkan program pembiayaan ASK4VACCINE.

 

Program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan akses kanak-kanak Malaysia kepada vaksin pneumokokal.

 

Melalui program tersebut, ibu bapa di Malaysia diberi perlindungan untuk anak-anak mereka daripada pneumonia pneumokokal melalui pelan pembayaran ansuran 12 bulan tanpa faedah.

 

Pengurus Negara, Pfizer Malaysia & Brunei, Cik Luksanawan Thangpaibool berkata, pihaknya percaya bahawa kanak-kanak tidak sepatutnya menderita akibat penyakit yang dapat dicegah melalui vaksin.

 

"Selama lebih dari satu abad, vaksin kami telah membantu melindungi ahli masyarakat daripada penyakit berjangkit yang mengancam nyawa seperti pneumonia pneumokokal.

 

"Hari ini, kami berbangga untuk bekerjasama dengan DoctorOnCall dan UOB Malaysia bagi meningkatkan tahap kesedaran dan meringankan beban kewangan ibu bapa dalam melindungi anak-anak mereka daripada penyakit pneumokokal," katanya dalam satu kenyataan.

 

Di peringkat global, pneumonia telah membunuh lebih ramai kanak-kanak daripada penyakit berjangkit yang lain.

 

Di Malaysia, pneumonia merupakan salah satu daripada lima penyebab utama kematian kanak-kanak.

 

Bagaimanapun, penyakit pneumokokal ini dapat dicegah melalui vaksinasi.

 

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim, pihaknya sangat komited untuk terus bersama para pelanggan dan menawarkan bantuan pada saat-saat memerlukan selain memahami kepentingan menyediakan akses mudah kepada vaksin. 

 

"Dengan pelan pembayaran ansuran tanpa faedah 12 bulan yang ditawarkan ini, kami membolehkan pelanggan menjamin kesihatan anak-anak mereka, serta memastikan keadaan kewangan mereka tidak terjejas pada masa yang sama," jelasnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi DoctorOnCall,  Chiak Tang berkata, pihaknya turut berharap untuk menyambut masa depan di mana semua kanak-kanak dilindungi daripada penyakit yang dapat dicegah dengan vaksin seperti pneumonia pneumokokal. - DagangNews.com