Dokumen tender perolehan babitkan 7 syarikat didakwa tipu bida diserah kepada MyCC, kata Mindef | DagangNews Skip to main content

Dokumen tender perolehan babitkan 7 syarikat didakwa tipu bida diserah kepada MyCC, kata Mindef

Kementerian Pertahanan (Mindef) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 22 Dis - Kementerian Pertahanan (Mindef) menyerahkan dokumen berkaitan empat tender perolehan membabitkan tujuh syarikat yang terlibat dalam kegiatan menipu bida kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk tindakan lanjut.

 

Menurut Mindef, semua perolehan itu membabitkan empat tender pembekalan barangan dan perkhidmatan yang dianggarkan  bernilai RM20.8 juta pada 2016 dan 2020. 

 

"Kesemua perolehan terlibat dalam siasatan ini dilaksanakan secara tender terbuka dan sebut harga mengikut tatacara perolehan ditetapkan Kementerian Kewangan.

 

"Dan semua dokumen berkenaan dikemukakan kepada MyCC setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada Bahagian Undang-Undang Mindef," menurut kementerian itu dalam kenyataan di sini.


 

ARTIKEL BERKAITAN: MyCC umum keputusan cadangan terhadap 7 syarikat berhubung penipuan bidaan tender Mindef bernilai RM21 juta | DagangNews


 

Mindef berkata, berdasarkan rekod, empat syarikat disenaraikan terlibat dalam perolehan pembekalan barangan runcit dan perkhidmatan penyelenggaraan yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka.

 

"Tiga lagi syarikat terlibat dalam perolehan yang dilaksanakan melalui sebut harga dibuat oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah Mindef," katanya.

MyCC

Mindef memaklumkan ia komited dalam memastikan semua proses perolehan dilaksanakan secara telus dan mematuhi ketetapan pekeliling perbendaharaan yang berkuat kuasa dalam mencegah elemen ketirisan serta akan memberikan kerjasama dalam membantu proses siasatan lanjut oleh MyCC. - DagangNews.com