KUALA LUMPUR 8 Ogos - Harga seunit besi mencatatkan penurunan di antara 0.5% dan 4% bulan ke bulan pada Julai 2023 bagi hampir semua kawasan di seluruh negara, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks harga seunit keratan keluli dan logam juga turut mencatatkan penurunan iaitu antara 0.2% dan 4% bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Katanya, penurunan indeks harga besi dan keratan keluli dan logam ini adalah seiring dengan senario penurunan harga besi dan bijih besi di peringkat global.
"Selain daripada besi dan keratan keluli dan logam, simen juga telah mula mencatatkan penurunan harga berbanding Jun 2023 dengan kadar penurunan antara 0.2% dan 1.7%.
"Namun begitu, perbandingan bulanan bagi bahan binaan dan kawasan terpilih menunjukkan batu baur telah mencatatkan peningkatan harga iaitu antara 0.2% dan 2.7%," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut Mohd Uzir, perbandingan secara tahunan untuk tempoh Julai 2022 dan Julai 2023 menunjukkan indeks harga seunit simen telah mencatatkan peningkatan antara 2.9% dan 23.8% bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Tambahan itu katanya, dalam konteks item dan kawasan, indeks harga seunit bahan binaan di Semenanjung Malaysia meningkat antara 0.2% hingga 23.8% bagi Julai 2023 berbanding bulan yang sama tahun lalu.
"Peningkatan tertinggi bagi kawasan di Semenanjung Malaysia adalah simen di Kelantan & Terengganu (23.8%) dan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (18.0%).
"Manakala, indeks harga bagi seunit bahan binaan yang mencatatkan peningkatan tertinggi di Sabah adalah bahan paip di Kota Kinabalu (14.6%), manakala di Sarawak pula adalah kayu di Sibu (31.7%) dan batu bata & dinding di Miri (21.1%)," katanya.
Selain itu katanya, indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia pada Julai 2023 meningkat antara 0.2% dan 3.8% berbanding bulan sebelumnya. Peningkatan tertinggi adalah Cerucuk Kayu di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
"IKB termasuk bar keluli di Sabah menunjukkan penurunan di antara 0.1 dan 1.4% bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu dan Tawau pada Julai 2023 berbanding bulan sebelumnya.
"Manakala IKB (termasuk bar keluli) bagi semua kategori bangunan Sandakan pula kekal tidak berubah pada Julai 2023 berbanding bulan sebelumnya," katanya.
Katanya, perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli di Sarawak pada Julai 2023 menunjukkan penurunan di antara 0.1 dan 2.1% bagi hampir semua kategori bangunan terutamanya di Kuching dan Miri.
"Namun begitu, kebanyakan kategori bangunan di Sibu pula telah mencatatkan peningkatan indeks yang perlahan iaitu 0.1 dan 0.2%," katanya. - DagangNews.com